Bajet 2015 yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Oktober tahun lepas dilihat akan terganggu dengan bencana banjir yang melanda beberapa negeri kebelakangan ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, beberapa penambahan peruntukan dijangka berlaku terutama untuk proses pembinaan semula kawasan terjejas.

"Memang Bajet 2015 akan terganggu, semuanya ada kaitan dengan banjir yang berlaku.

"Peruntukan dijangka bertambah untuk membaiki semula infrastruktur dan pembinaan semula kemudahan masyarakat yang musnah akibat banjir," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hasan mengulas kemungkinan penambahan di dalam peruntukan Bajet 2015 selepas bencana banjir yang melanda Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor dan Sabah baru-baru ini.

Bajet 2015 yang bertemakan "Ekonomi Keperluan Rakyat" menggariskan tujuh strategi utama iaitu memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi, memantapkan tadbir urus fiskal, mengupaya modal insan dan keusahawanan, memperkasa agenda Bumiputera, memartabatkan peranan wanita, membangunkan program transformasi belia negara dan mensejahtera rakyat.

Bajet 2015 memperuntukkan RM273.9 bilion, peningkatan RM9.8 bilion berbanding peruntukan asal 2014 selain RM223.4 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM50.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Dalam pada itu kata Hasan, kerajaan akan memikirkan yang terbaik dalam menyalurkan peruntukan pembangunan semula kawasan terjejas banjir.

Pada Selasa, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak belum lagi memutuskan jumlah bantuan tunai yang akan diberikan kepada mangsa-mangsa banjir bagi meringankan kesulitan dilanda musibah berkenaan.

Bagaimanapun, pada tahun lepas sebanyak RM500 diberikan kepada setiap keluar yang terpaksa berpindah ke pusat penempatan banjir kerana dinaiki air dan RM200 untuk keluarga yang tidak berpindah.

Pada Isnin, Ahmad Maslan mengumumkan, kerajaan membelanjakan RM800 juta dalam fasa pertama membaiki prasarana dan membantu mangsa banjir sejak hujung bulan lalu.