Empangan-empangan hidroelektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) membantu mengawal keadaan banjir luar biasa dan bencana lebih besar daripada berlaku.

Pengurus Besar Kanan, Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi TNB, Datuk Ir. Mohd. Aminuddin Mohd. Amin menjelaskan, empangan-empangan TNB dibina bagi tujuan menjana elektrik dan mengawal banjir.

"Selain daripada menjana elektrik, fungsi utama empangan-empangan ini adalah untuk mengawal aliran air yang banyak akibat hujan lebat yang berterusan.

"TNB juga memberi jaminan bahawa kesemua empangan-empangan terbabit berada dalam keadaan baik dan selamat.

"Sebenarnya banjir ini berlaku bukan kerana tindakan TNB melepaskan air di empangan-empangan ini sebaliknya hujan lebat telah meningkatkan paras air di semua empangan terbabit.," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hujan lebat berterusan di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia sejak awal Disember lalu telah meningkatkan paras air di beberapa empangan hidroelektrik TNB.

Jelas Mohd. Aminuddin, sehingga hari ini, empat empangan yang telah melepaskan air secara terkawal adalah Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (Empangan Tasik Kenyir) dan stesen-stesen Janaelektrik Sungai Perak (Empangan Bersia, Kenering, Chenderoh).

"Manakala air di Empangan Pergau (Kelantan) dan Temenggor di Stesen-stesen Janaelektrik Sungai Perak masih di bawah paras pelepasan air," jelasnya.

Katanya lagi, kerjasama erat antara TNB dan pihak berkuasa tempatan serta agensi-agensi berkaitan telah memastikan proses pelepasan air secara terkawal di beberapa empangan-empangan hidroelektrik dilakukan berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP), demi keselamatan orang ramai.

"TNB akan terus memantau pepasangannya seperti pencawang elektrik di beberapa kawasan yang terjejas dengan banjir dan menutup bekalan elektrik sekiranya air mencecah paras merbahaya.

"TNB juga telah mengaktifkan bilik-bilik gerakan di setiap negeri untuk memantau situasi. Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454," jelasnya.

Dalam pada itu katanya, sebagai langkah berjaga-jaga, TNB menasihatkan orang ramai supaya mengutamakan aspek keselamatan dan sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.