Kerajaan Negeri Terengganu menganggarkan nilai kerosakan barangan dan infrastruktur sekolah-sekolah yang dilanda banjir awal Disember lepas di negeri ini lebih daripada RM14 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata kerosakan berkenaan melibatkan 192 sekolah yang ditenggelami air dan sekolah yang dijadikan pusat pemindahan melibatkan tiga daerah yang paling terjejas iaitu Kemaman, Hulu Terengganu dan Dungun.

"Kerosakan tersebut melibatkan kerosakan seperti tandas, bangunan pejabat, kelengkapan perabot, buku teks, pendawaian eletrik serta peralatan eletrik yang mana kita dapati seluruh daerah ada sekolah yang terlibat, tetapi tiga daerah ini sangat krikal.

"Bagaimanapun penilaian ini hanyalah anggaran awal dan penilaian sebenar jumlah kerosakan ini sedang kita buat yang mana saya akan hantar laporan kerosakan secara terperinci sedang dibuat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Ghazali berkata beliau akan membuat permohonan segera untuk membaik pulih kerosakan secepat mungkin kepada Menteri Pendidikan Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk keperluan sesi persekolahan.

"Lebih 33,000 mangsa banjir dipindahkan ke sekolah-sekolah terlibat dan ada juga sekolah dijadikan tempat transit sementara untuk mangsa banjir sebelum dihantar ke pusat pemindahan yang digazetkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) oleh kerana faktor jarak pusat pemindahan yang agak jauh.

Untuk kerosakan buku teks pula pihak Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) telah membuat permohonan kepada pihak kementerian yang mana didapati memang banyak berlaku kerosakan buku berkenaan, katanya.

Ghazali berkata semua sekolah di Terengganu tetap akan dibuka pada Ahad depan sebagaimana yang telah ditetapkan pihak kementerian.

"Walaupun ada bilik darjah yang masih belum dapat digunakan sebab berlaku kerosakan, kita akan tempatkan pelajar-pelajar ini sementara di dewan serta makmal-makmal. Pelajar yang terlibat banjir yang tidak mempunyai kelengkapan pakaian sekolah dibenarkan berpakaian biasa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ghazali berkata kerajaan negeri telah mengagihkan sebanyak RM13 juta untuk bantuan awal persekolahan seluruh negeri.