1Malaysia Development Bhd (1MDB) telah memaklumkan secara bertulis kepada syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC) mengenai pembayaran yang dijadualkan pada 31 Julai, 2017 sebaliknya akan dibuat pada Ogos 2017 kerana masih menunggu dana sewajarnya.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, 1MDB berkata kesemua bayaran kepada pihak IPIC itu akan menggunakan wang yang dikumpul menerusi pelan rasionalisasi 1MDB.

“1MDB masih lagi menunggu dana yang sepatutnya diterima pada Julai 2017. Berikutan keperluan mendapatkan kelulusan kawal selia tambahan, penerimaan dana itu telah ditangguhkan kepada Ogos, 2017.

“Memandangkan dana ini akan digunakan bagi tujuan pembayaran kepada IPIC, 1MDB telah mengemukakan makluman bertulis kepada IPIC mengenai komitmen kami untuk memenuhi obligasi yang pada asalnya dijadualkan pada 31 Julai, 2017 kepada Ogos, 2017," kata syarikat pembangunan strategik itu.

Laporan sebelum ini menyatakan pembayaran sebanyak US$603 juta (kira-kira RM2.58 bilion) daripada 1MDB kepada IPIC adalah sebahagian daripada penyelesaian membabitkan pertikaian hutang.

-- BERNAMA