1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyangkal kenyataan Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang mengaitkan syarikat itu dengan kelemahan ringgit.

Menurutnya, ringgit seperti matawang Kroner Norway, Dollar Australia dan Rouble Russia mengalami kelemahan akibat kejatuhan mendadak harga minyak.

Faktor lain yang menyumbang kepada kejatuhan ini termasuk jangkaan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat dan kebimbangan kelemahan dalam pasaran membangun.

1MDB menegaskan bahawa nilai aset syarikat itu melebihi jumlah hutangnya.

Malah, 1MDB memaklumkan ia berterusan memenuhi tanggungjawab hutangnya tanpa mungkir kepada peminjam dalam dan luar negara.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Zeti berkata isu 1MDB perlu diselesaikan bagi memulihkan ringgit agar ekonomi terus berkembang.

Sewaktu menjadi panel dalam acara pengumuman Laporan Kemaskini Ekonomi Malaysia 2015 di Bangunan Sasana Kijang, beliau turut menegaskan bahawa Bank Negara telah menjalankan siasatan terhadap isu 1MDB.


Di forum sama, Zeti juga berkata Malaysia perlu membina kekuatan serta daya tahan sendiri bagi membolehkannya menempuhi ketidaktentuan yang berlaku di China serta Amerika Syarikat (AS).

Katanya sebahagian besar faktor yang menjejaskan ringgit adalah disebabkan perkembangan ekonomi di peringkat global.
Merujuk perkembangan dalam negara, Zeti turut menjelaskan, pemulihan ringgit akan bergantung kepada perkembangan ekonomi.

Beliau menegaskan penyusutan ringgit bukanlah sesuatu yang unik untuk Malaysia kerana kira-kira 120 mata wang global turut susut berbanding pengukuhan dolar AS.

Sementara itu, mengulas di forum yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata kerajaan perlu mengemukakan penyelesaian holistik untuk membolehkan 1MDB pulih sebanyak mungkin daripada asetnya.

Menurutnya, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga akan diselaraskan semula pada sesi Parlimen akan datang untuk meneruskan serta menyelesaikan siasatannya terhadap 1MDB.