Sebanyak 28 jenama tempatan dipilih sebagai penerima Anugerah Superbrands Malaysia 2019 dalam satu majlis yang berlangsung di ibu negara malam tadi.

Ia sebagai memberi pengiktirafan terhadap jenama terbaik dan paling bernilai di pasaran.

Penganjuran edisi kali ke-11 anugerah tersebut dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

Sejumlah 1,468 jenama utama tempatan telah dijaring menerusi pemilihan Majlis Profesional Superbrands
serta undian dalam talian sebelum jenama terbaik dipilih.

Dalam ucapannya, Darell berkata, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) merupakan salah satu agensi yang banyak membantu dalam mengeksport dan mempromosi produk tempatan.

"Saya percaya, Superbrands boleh bekerjasama dengan Matrade mencari titik persamaan untuk menjual produk yang diiktiraf ini di merata dunia.

"Ini kerana, pengeksportan adalah penting untuk Malaysia. Apabila kita eksport barangan buatan Malaysia, orang akan mula percaya kepada negara kita.

"Tetapi, perlu dipastikan, barangan kita kompetitif di serata dunia," kata Darell.



Antara yang menerima Anugerah Superbrands kali ini ialah syarikat Acer, Eco Ware, V Asia Cosmetics, Das Abdul Global dan Little Caliphs International.

Penyampaian anugerah disempurnakan Darell, disaksikan Pengarah Superbrands Mike English.