Kenaikan Ringgit untuk dibuka pada RM3.98 berbanding dolar Amerika dalam sesi pembukaan Rabu menjadi berita baik bagi rakyat Malaysia.

Ini merupakan kali kedua ringgit diniaga di bawah paras RM4.00 berbanding dolar minggu ini, dan kadar tertingginya sejak Ogos 2015.

Tapi tahukah anda mengapa ringgit menunjukkan peningkatan begitu memberangsangkan setelah sekian lama menyusut secara berterusan?

Wartawan Astro AWANI, Luqman Hariz menemu bual Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank dan pakar ekonomi, Datuk Dr Nazri Khan.

1. Harga komoditi terus meningkat

Kenaikan harga komoditi pastinya akan memberi limpahan yang positif.
Ia diketahui umum bahawa sektor minyak dan gas memainkan peranan begitu penting dalam ekonomi Malaysia.

Sehingga Julai 2015, sektor minyak dan gas menyumbang kira-kira 18 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Antara faktor utama yang memberi sokongan kepada ringgit adalah aliran menaik harga komoditi secara amnya. Harga minyak telah pun mencecah paras tertinggi dalam tahun ini iaitu AS$42 setong.

“Harga minyak sawit mentah juga kini lebih dari RM2,700 satu tan.

“Kenaikan harga komoditi pastinya akan memberi limpahan yang positif,” kata Nazri.


2. Pelaburan meningkat ke dalam bursa tempatan

Menurut Nazri, sentimen positif pelabur terhadap bursa saham tempatan telah melonjakkan indeks tempatan, indeks FBM KLCI.

Ini seterusnya memperbaiki sentimen pelabur terhadap Ringgit.

Menurut Nazri, aliran masuk pelaburan asing ke dalam bursa tempatan turut memainkan peranan penting dalam peningkatan ringgit.

“Kita tahu aliran masuk wang luar (ke dalam bursa tempatan) juga telah meningkat sejak enam bulan lepas.

“Ini menunjukkan keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi Malaysia akan berterusan,” dakwa Nazri.


3. Bayangan oleh “The Fed

Kadar tukaran Ringgit diukur berbanding dolar Amerika.

Ini bermakna nilai pertukaran ringgit terdedah kepada naik turun matawang dolar yang bergerak mengikut keadaan ekonomi Amerika Syarikat.

Pada 16 Mac lalu, Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat atau The Fed, Janet Yellen memberi bayangan bahawa kadar faedah negara itu akan ditingkatkan secara kurang kerap berbanding yang dijangka sebelum ini.

Ini bermakna ekonomi Amerika masih kurang kukuh buat masa ini.

Ini seterusnya menurunkan nilai dolar sekaligus, meningkat kadar tukaran ringgit berbanding matawang itu.

“Kita mengalu-alukan langkah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat yang telah memberi bayangan bahawa mereka mungkin tidak akan meningkatkan kadar faedahnya secara agresif seperti yang diramalkan oleh pakar ekonomi.

“Ini juga bermakna dalam masa terdekat, perbezaan kadar faedah di antara Amerika Syarikat dan Malaysia juga kekal pada paras yang sihat,” katanya.


Apa jangkaan bergerak ke hadapan?

Nazri berkata, beliau menjangka Ringgit akan terus mengukuh sekitar paras yang dilihat kini, sehingga hujung 2016.
Affin Hwang meletakkan sasaran rasmi RM3.95 (berbanding dolar) untuk hujung tahun ini.

“Affin Hwang Investment Bank meletakkan sasaran rasmi RM3.95 (berbanding dolar) untuk hujung tahun ini.

“Kami yakin sasaran ini akan dicapai melihat kepada faktor-faktor persekitaran luar yang sangat positif dan asas ekonomi kita yang masih kukuh,” katanya.