Malaysia Airlines akan kekal menumpukan kepada pelan pemulihannya, kata Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu dilantik, Peter Bellew.

Sambil mengungkapkan janji untuk menjulang semula kedudukan sebenar syarikat penerbangan nasional sebagai kebanggaan negara, Bellew berkata penekanan akan diberikan kepada empat aspek -- "penerbangan bijak", "pendanaan", "penambahbaikan" dan "keluarga".

Bagi "penerbangan bijak", Bellew menggariskan beberapa langkah yang perlu dilaksanakan termasuk menerbangkan pelanggan secara selamat dengan tambang bernilai hebat dan perkhidmatan terbaik dalam pesawat moden.

Selain itu, syarikat akan memulakan laluan baharu dari pelbagai lapangan terbang Malaysia ke destinasi baharu ASEAN yang belum menerima perkhidmatan penerbangannya.

"Kami akan menghentikan perkara yang menyebabkan kami rugi. Kami akan menjalin semula perdagangan perjalanan, di seluruh dunia, dan mengetuai usaha pemasaran untuk mempromosi keajaiban Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bellew, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group, berkata syarikat itu turut akan mewujudkan halaman web, aplikasi mudah alih, sistem tempahan dan kelengkapan lapangan terbang baharu dalam tempoh 12 bulan akan datang.

"Pengalaman digital ketika membuat tempahan dengan Malaysia Airlines akan menyaksikan pelaburan ketara pada 2016 dan 2017 bagi memastikan keperluan pelanggan dipenuhi," katanya.

Mengenai "pendanaan", Bellew berkata syarikat penerbangan itu akan kekal berhati-hati dalam perbelanjaan.

"Penjimatan wang tidak bermakna kami perlu mengkompromikan keselamatan atau produk dan perkhidmatan. Ini bererti kami seharusnya meningkatkan pengeluaran dan kecekapan, melabur dalam teknologi moden, memeterai perkongsian demi manfaat bersama selain mengenal pasti dan mengurangkan risiko lebih awal," katanya.

Bellew turut menegaskan bahawa kos lapangan terbang akan menjadi tumpuan segera.

"Kami merancang untuk mengendalikan beberapa penerbangan "santai" dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 2017 dengan kos serendah RM33 bagi setiap penumpang atau serendah RM5,412 bagi setiap penerbangan.

"Bagi satu penerbangan harian, penjimatan ini akan berjumlah RM1,975,380 setahun.

"Kami akan memulangkan penjimatan ini kepada pelanggan dengan menawarkan tambang rendah. Setiap kos bagi semua yang kami lakukan akan disemak setiap hari tanpa mengubah apa-apa kualitinya," kata Bellew.

Bagi "penambahbaikan" pula, Bellew berkata Malaysia Airlines akan meningkatkan standardnya supaya komitmen dalam memenuhi jangkaan pelanggan dilaksanakan oleh semua lapisan kakitangan syarikat.

"Mereka (pelanggan) mengharapkan kami menepati masa, menghidangkan makanan terbaik, bermurah hati bagi elaun bagasi dan pesawat moden yang beroperasi secara selamat. Itulah sebenarnya apa yang kami akan laksanakan.

"Kami perlu begerak dengan lebih cepat dan agresif dalam mengekalkan momentum untuk masa depan yang kukuh dan mampan," katanya.

Mengenai "keluarga", Bellew berjanji memastikan syarikat melatih sekumpulan besar rakyat Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang, yang mampu menerajui syarikat penerbangan itu ke arah 2030.

Setakat ini, 14,000 profesional penerbangan bekerja di Malaysia Airlines, katanya.

"Saya teruja untuk mula bekerja...kami akan pulihkannya. Malaysia Boleh!" kata Bellew.