400,000 kenderaan keluaran Volkswagen di Britain perlu melalui pengubahsuaian sistem suntikan bahan api dan mengemaskini perisian.

Pengubahsuaian enjin melibatkan kenderaan dengan kapasiti 1.6 liter, sementara kemaskini perisian hanya melibatkan enjin dengan kapasiti 2.0 liter.

Perkara berkenaan didedahkan Pengarah Urusan Volkswagen UK, Paul Willis ketika memberi keterangan di hadapan jawatankuasa pengangkutan parlimen Britain pada Isnin.

Willis memaklumkan penarikan kenderaan akan bermula pada suku pertama 2016.

Pemilik yang terlibat akan diberi kemudahan pinjaman kenderaan sepanjang proses pengubahsuaian.

Sementara itu, Willis sekali lagi mengemukakan permohonan maaf, berhubung penipuan ujian karbon melibatkan Volkswagen.

"Kami sedar kami mengecewakan pelanggan dan masyarakat umum dengan skandal ini. Kami sedar standard kami tidak lagi seperti yang dijangkakan,"

"Volkswagen akan mengambil segala langkah yang perlu untuk mengembalikan kepercayaan pelanggan terhadap jenama kami," jelas Willis.

Willis mengakui Volkswagen memasang peranti yang membolehkan ia menipu ujian karbon yang dijalankan.

Ia membolehkan enjin diubah kepada mod kawalan pencemaran ketika ujian dijalankan, namun mod itu boleh diubah untuk meningkatkan prestasi kenderaan.

Skandal penipuan ujian pembebasan karbon itu melibatkan 1.2 juta kenderaan Volkswagen dan Audi di Britain.

Volkswagen kini dalam proses komunikasi dengan pemilik kenderaan terlibat.

Ia turut mewujudkan laman web khas bagi membolehkan pemilik mengetahui sama ada kenderaan mereka terlibat dan perlu dibaiki.

Dalam sesi keterangan itu, Willis mendedahkan kenderaan pertama dengan peranti berkenaan dijual di UK sekitar 2008.

Bagaimanapun ia hanya dikesan pada 19 September lalu, selepas pendedahan skandal sama di Amerika Syarikat.

Volkswagen kemudian bertindak menghentikan penjualan kenderaannya.

Skandal sehingga kini menjejaskan jualan Volkswagen.