Seramai 400 usahawan bumiputera berjaya dilahirkan di Perak menerusi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) sejak ia diperkenalkan pada 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Asmuni Awi berkata ada di antara usahawan belia yang memperoleh jualan tahunan sehingga mencecah RM50 juta setahun menerusi program yang dilaksanakan oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp).

"Ini merupakan kejayaan yang cukup membanggakan dan saya mengharapkan supaya program ini dipertingkatkan lagi dengan diperluaskan dalam pelbagai bidang keusahawanan.

"Saya juga menyeru belia di negeri ini supaya menggunakan kesempatan untuk membolehkan mereka mendapat latihan yang sewajarnya serta mengetahui peluang pekerjaan dan perniagaan yang boleh mereka terokai (menerusi TUBE) seterusnya mengembangkan ke satu peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Geran Program Peningkatan Perusahaan Bumiputera (BEEP) kepada 12 usahawan bumiputera Perak yang turut dihadiri Pengarah SME Corp Perak, Mohd Izham Abdullah di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Asmuni berkata kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) bersedia membantu usahawan daripada segi bantuan kewangan yang mahu menyertai pameran antarabangsa bagi tujuan mempromosikan produk keusahawanan keluaran mereka.

"Kerajaan negeri dan agensi-agensi berkaitan akan membantu mereka untuk menyertai pameran peringkat antarabangsa dengan memberi bantuan kewangan.

"....kerana kos untuk menyertai (pameran) di peringkat antarabangsa ini agak mahal, selain tambang (pengangkutan) mereka terpaksa menyewa 'booth' dan bayaran (menyertai pameran) dikenakan agak mahal," katanya.

Program TUBE dilaksanakan bertujuan mensasarkan golongan belia Bumiputera yang berusia 18 hingga 30 tahun yang mempunyai minat untuk menceburi bidang keusahawanan khususnya mereka yang mempunyai sijil kemahiran asas daripada institusi latihan atau pusat kemahiran tempatan.

-- BERNAMA