Berita baik untuk peminat kopi Starbucks. Sekurang-kurangnya 50 kios Starbucks akan dibuka dalam setahun di stesen Petronas terpilih seluruh negara.

Pelanggan Starbucks di stesen Petronas terpilih itu juga berpeluang menikmati menu baru yang ditawarkan secara eksklusif di kios berkenaan, 'Starbucks Espresso Kaw Kaw'.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas Dagangan Berhad (PDB) Datuk Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus berkata: "Starbucks telah lama menjadi rakan niaga kami. Hari ini, kami bekerjasama untuk memanfaatkan lagi kelebihan masing-masing, dengan komitmen serupa untuk memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan.

Kios Starbucks kini di Stesen Petronas Penchala Link (arah Damansara) dan beberapa lagi kios akan dibuka dalam beberapa bulan akan datang.

Sementara itu, CEO Berjaya Food Berhad dan Pengarah Urusan Starbucks Malaysia, Sydney Quays berkata Starbucks percaya kerjasama itu akan menambah nilai pengalaman pelanggan setiap kali mereka melawat kiosnya di stesen Petronas.

"Ia sentiasa menjadi matlamat di Starbucks untuk dapat membangunkan kerjasama berterusan dengan jenama dan syarikat yang hebat, dengan hubungan pelanggan dan nilai yang kukuh," katanya.

Maklumat lanjut mengenai tawaran terkini boleh didapati dengan melayari www.mymesra.com.my atau www.starbucks.com.my.

-- BERNAMA