Sejumlah 64 peratus daripada 7.11 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berusia 54 tahun hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias dalam satu kenyataan pada Khamis berkata faktor utama melibatkan kadar upah yang sedikit, terutamanya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.

Menurutnya, 23 peratus pencarum atau 1.64 juta mencarum kurang daripada kadar sepatutnya berdasarkan gaji minimum semasa pada RM1,000.

Justeru, bermula 1 Januari 2019 ini, caruman minimum KWSP oleh pekerja dan majikan akan diselaraskan dengan Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018.

KWSP berharap melalui pengenalan gaji minimum baharu pada RM1,100, caruman bulanan seharusnya tidak boleh kurang daripada RM264, tertakluk kepada kehadiran bulanan pekerja.

"Penyelarasan gaji minimum ini akan membantu ahli KWSP untuk mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan mereka serta mengukuhkan ketahanan kewangan masa depan mereka,” kata Tunku Alizakri.

Bagaimanapun, caruman minimum yang berbeza hanya terpakai kepada ahli yang digaji mengikut minggu, hari atau jam.