Kecanggihan Pusat Latihan Airbus Asia (AATC) dalam menyediakan perkhidmatan latihan dan kursus bagi juruterbang dari seluruh dunia turut mendapat perhatian Malaysia Airlines Berhad (MAB).

Ini dibuktikan apabila 144 juruterbang Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang ditugaskan mengendali kapal terbang varian Airbus terbaharu iaitu A-350XWB diberi peluang mendapatkan latihan di pusat itu.

Pengurus AATC, Kapten Yann Lardot percaya pemilihan Singapura sebagai lokasi latihan pengendalian Airbus merupakan satu keputusan tepat.

"Tidak boleh dinafikan bahawa rantau Asia-Pasifik membangun dengan pesat dan permintaan untuk bekerjasama dengan Airbus cukup tinggi di rantau ini," ujarnya ketika ditemui di pusat itu di sini hari ini.

Dalam pada itu, AATC turut menawarkan latihan menerusi lapan simulator penerbangan (setakat ini) yang membolehkan juruterbang memilih situasi dan cuaca bagi mengendali pesawat moden ini.

Dengan penambahan dua lagi simulator pada 2019, AATC Singapura bakal menjadi pusat latihan Airbus terbesar di dunia, mengambil tempat Toulouse di Perancis dan Beijing di China.

AATC turut menawarkan latihan menerusi lapan simulator penerbangan (setakat ini) yang membolehkan juruterbang memilih situasi dan cuaca bagi mengendali pesawat moden ini. - Foto Astro AWANI
AATC berkeluasan 9,250m persegi dan dibangunkan menerusi dana berjumlah AS$100 juta.

Buat masa ini, lebih 10,000 juruterbang daripada pelbagai syarikat penerbangan mendapat latihan di AATC.

Bagi Ketua Pegawai Operasi MAB, Kapten Izham Ismail, evolusi penerbangan antarabangsa yang kompetitif memerlukan reaksi yang sewajarnya dari pihak mereka.

"Inisiatif untuk kami (MAB) bekerjasama dengan AATC selaras dengan perubahan lanskap yang semakin berdaya saing," katanya dengan nada optimis.

A-350XWB dapat menampung seramai 286 penumpang dengan 4 tempat duduk bagi First Class, 45 bagi Business Class, dan 247 bagi mereka dengan tiket ekonomi.

A-350XWB masih dalam proses pengeluaran dan merupakan edisi terkini kebanggaan Airbus.