Tutup

Berita  | Bisnes

AirAsia 'berperang' dengan MAHB, kali ini tentang cukai PSC tertunggak

AirAsia 'berperang' dengan MAHB, kali ini tentang cukai PSC tertunggak
AirAsia telah berkali-kali menentang kadar kenaikkan cukai PSC ke RM73 setiap penumpang / Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Satu pergelutan perundangan sedang berlaku antara syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Kali ini, ia berkenaan tunggakan cukai oleh AirAsia kepada MAHB.

Pada bulan Oktober 2018, MAHB telah menghantar surat kepada AirAsia dan AirAsia X untuk membayar cukai tunggakan lapangan terbang bagi penerbangan antarabangsa.

Tunggakan tersebut  adalah dari 1 Julai 2018 ke atas.

Menurut MAHB, cukai telah ditetapkan sebanyak RM73 setiap penumpang, tetapi AirAsia hanya mengutip RM50 seorang.
Cukai RM73 itu adalah cukai perkhidmatan penumpang, atau Passenger Service Charge (PSC).

AirAsia telah menentang secara dasar, kenaikan caj PSC ini sejak diumumkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada 2017. Kutipan RM50 setiap penumpang oleh AirAsia berbentuk satu ‘protes’ terhadap kadar kenaikan caj PSC ini kepada setiap penumpang.

Pihak MAHB mendesak AirAsia untuk membayar perbezaan RM23 setiap penumpang itu.

Angka yang timbul hasil permintaan MAHB untuk AirAsia membayar RM23 setiap penumpang itu dianggap tidak membebankan syarikat penerbangan itu, kerana kadar keuntungan untuk AirAsia, dan anak syarikat penerbangan jauh mereka AirAsia X jauh lebih menguntungkan.

Dalam satu wawancara bersama FMT, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata 'kutipan cukai yang rendah akan menjejaskan pendapatan kerajaan'.
“MAHB sendiri harus membayar kepada kerajaan. Sebanyak 11.8 peratus dari kutipan pendapatan MAHB diberi ke kerajaan dalam bentuk user fee.

“Kadar ketetapan PSC ditentukan oleh kerajaan, dan dikenakan kepada semua syarikat penerbangan,” kata Raja Azmi lagi.

Tetapi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes telah mengambil keputusan untuk mengkritik MAHB tentang isu cukai tertunggak ini.

“Kenyataan terbaru yang dibuat oleh (Raja Azmi) menunjukkan beliau tidak faham dengan industri penerbangan kos rendah ini,” kata Tony melalui laman twitternya.

“Sebab AirAsia kekalkan harga rendah adalah untuk meningkatkan permintaan. Pendapatan MAHB akan terjejas dengan teruk sekiranya AirAsia gagal dalam perkhidmatan kami,” tambah beliau lagi.
Tony juga memberi sepatah dua nasihat kepada MAHB.

“Jika MAHB ada cukai penerbangan rendah, pastinya pendapatan MAHB akan bertambah,” katanya.

Isu ini akan merumitkan lagi perbincangan antara MAHB dengan AirAsia.
Akhbar The Edge melaporkan bahawa terdapat kemungkinan pergelutan antara dua pihak itu akan berlarutan dan kemungkinan akan ke mahkamah, terutamanya jika AirAsia tetap berdegil dan tidak mahu membayar tuntutan cukai seperti diminta oleh MAHB.

Kedua syarikat penerbangan ini telah memenangi syarikat penerbangan tambang rendah terbaik di dunia, dan sehingga kini, AirAsia  dan AsiaAsia X bersama-sama telah membawa lebih 12 juta penumpang bagi tahun ini. Disebabkan operasi mereka yang baik, AirAsia juga mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi untuk tahun ini berbanding dengan tahun sebelumnya.

Tag: AIRASIA, Tony Fernandes, AirAsia, AirAsia X, the edge, MAHB, CEO, KLIA, mahkamah, penerbangan Malaysia, cukai, penerbangan, raja azmi, raja nazuddin, airports


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.