AirAsia Bhd menjangka jumlah penumpang meningkat 10 peratus tahun ini berikutan usaha berterusan syarikat memperluaskan rangkaian dan kumpulan pesawat.

Syarikat penerbangan tambang murah itu akan memperoleh tujuh lagi pesawat dan menambah destinasi antarabangsa dari Kuala Lumpur pada tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Aireen Omar kepada Bernama.

"Seiring dengan pertumbuhan kami sebelum ini, kami menjangka sekurang-kurangnya peningkatan 10 peratus dalam jumlah penumpang pada 2017.

"Kami akan menghubungkan beberapa destinasi dengan Kuala Lumpur. Pengumuman akan dibuat tidak lama lagi," kata Aireen tanpa mendedahkan laluan yang dirancang.

Bagaimanapun, beliau berkata laluan baru berkenaan dalam rantau ASEAN dan India.

Seorang pegawai dari negeri Odisha, India, baru-baru ini menyatakan yang AirAsia akan melancarkan penerbangan antara Bhubaneswar dan Kuala Lumpur.

Baru-baru ini, AirAsia menawarkan lapan laluan di India iaitu ke Bengaluru, Chennai, Hyderabad, New Delhi, Kochi, Kolkata, Trichy dan Visakhapatnam, dari habnya, Kuala Lumpur.

Syarikat sekutu, Thai AirAsia mengadakan perkhidmatan ke empat bandar di India dari Bangkok.

Aireen berkata AirAsia dalam usaha mendapatkan kebenaran kerajaan India untuk menambah lebih banyak destinasi dan menambah kekerapan penerbangan di laluan sedia ada.

New Delhi berminat untuk meningkatkan kesalinghubungan dengan ASEAN sebagai sebahagian daripada dasarnya untuk mewujudkan hubungan politik dan perniagaan yang lebih luas dengan rantau tersebut.

-- BERNAMA