Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia akan terus melabel Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sebagai Terminal Penerbangan Tambang Rendah 2 (LCCT2).

Ini meskipun pengendalinya, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada minggu lalu menegaskan terminal itu kekal sebagai klia2.

AirAsia menegaskan, syarikat berkenaan adalah penyewa terbesar yang mengendalikan 98 peratus di terminal itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar berkata, penukaran nama kepada LCCT2 penting kerana ia akan memberi identiti kepada AirAsia selaku pemain dalam industri penerbangan kos rendah utama di Malaysia dan Asia.

"Isu utama di sini adalah supaya MAHB bekerja rapat dengan kami. Sebagai penyewa terbesar mereka, kami adalah pelanggan terbesar mereka. Kami membawa masuk banyak penumpang ke KLIA, kira-kira 50 peratus trafik.

"Mereka terus menafikan bahawa LCCT2 (klia2) bukan hab tambang rendah sedangkan 98 peratus daripada penerbangan adalah dari AirAsia. Selain daripada menolak permintaan kami, MAHB sebaliknya patut memahami keperluan kami untuk berkembang, bekerjasama dengan kami untuk memastikan 50 juta kapasiti di LCCT2 (klia2) dicapai," kata Aireen dalam taklimat khas kepada media di ibu pejabat AirAsia di sini pada Selasa.

Ibu pejabat AirAsia kini terpaksa beroperasi di LCCT ekoran kelewatan MAHB menyiapkan beberapa projek lain di klia2 sehingga menyebabkan pembinaan ibu pejabat baharunya turut terjejas.

Menurut Aireen, kakitangannya kini terpaksa bekerja dipersekitaran pembinaan susulan LCCT dalam proses ubah suai untuk dijadikan hab kargo.

AirAsia sehingga kini masih membayar sewa bulanan LCCT sebanyak RM260,000 untuk beroperasi dalam sebuah bangunan kosong.

Beliau berkata, status LCCT terbesar dunia kini dirampas Lapangan Terbang Don Muaeng, Thailand hasil kerjasama rapat AirAsia dan pengendali lapangan terbang berkenaan.

Justeru katanya, MAHB perlu memainkan peranan yang sama untuk mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai hub LCCT terbesar.