Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah memproses lebih 600 kes peminjam PTPTN yang mempunyai masalah pembayaran balik sejak Februari 2016.

Menurut Pengurus Besarnya, Azman Hasim, pada masa sama jumlah individu yang mendapatkan khidmat nasihat AKPK secara keseluruhan meningkat tiga peratus tahun ini.

Beliau menjelaskan, antara sebab peningkatan ini adalah promosi dan pemahaman peranan AKPK yang semakin meningkat.

Katanya, individu berkenaan memohon bantuan kaunseling susulan pengurusan kewangan yang lemah.

"Mengikut statistik AKPK, hampir 51 peratus daripada mereka (yang menyertai kajian) menyatakan sebab mereka tidak mampu bayar pinjaman kerana lemah merancang kewangan," kata Azman.

Mengulas mengenai kerjasama dengan PTPTN, beliau berkata kebanyakan peminjam muda berasa tertekan sebaik sahaja mereka mula berhutang.

"Seperti semua hutang, apabila pinjaman dibuat kita patut sedar akan tanggungjawab untuk membayar balik. Jika peminjam dapat mengurus kewangan dengan baik, ia tidak akan memberi tekanan.

"Jika peminjam menghadapi masalah mengurus kewangan dan tidak mampu membayar balik hutang, ia akan sedikit sebanyak beri tekanan," katanya.

Sehingga kini, AKPK telah membantu 450,000 individu yang mendapatkan khidmat kaunseling pengurusan kewangan.

Daripada jumlah itu, 150,000 individu memasuki Program Pengurusan Kredit (PPK).

Sejumlah 11,000 individu berjaya menyelesaikan hutang di bawah PPK bernilai RM437 juta.