Amerika Syarikat (AS) dilaporkan telah mengenakan sekatan ke atas produk pembuat sarung tangan getah terbesar di dunia iaitu syarikat Top Glove Corp Bhd pada Rabu.

Berdasarkan laman web rasmi Jabatan Kastam Dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS, dua anak syarikat Top Glove iaitu Top Glove Sdn Bhd dan Tg Medical Sdn Bhd telah diletakkan dalam senarai sekatan.

Walaupun tiada sebab dinyatakan, tindakan itu dipercayai berpunca daripada dakwaan bahawa Top Glove menggunakan khidmat buruh paksa.

Tindakan sekatan itu dipercayai berpunca daripada dakwaan bahawa Top Glove menggunakan khidmat buruh paksa.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Top Glove mengesahkan perintah sekatan itu, bagaimanapun mereka sedang berusaha menyelesaikan isu yang wujud, termasuk menyelesaikan bayaran kepada pekerja dengan jumlah anggaran antara RM20 juta hingga RM50 juta.

“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kami sedang menyelesaikan isu yang melibatkan pengesanan semula pekerja dengan ekstensif, serta sedang memuktamadkan jumlah kos penyelesaian kepada pekerja, sebagai mewakili ejen mereka.

“Kami jangkakan jumlah ini adalah sekitar RM20 juta hingga RM50 juta,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia itu.

Syarikat Malaysia yang turut mempunyai kilang penghasilan di China dan Thailand itu memberitahu, mereka sedang berhubung dengan CBP, dan juga pelanggan serta konsultan melalui pejabat mereka di AS.

Top Glove memaklumkan telah menanggung segala bayaran pengambilan pekerja sejak awal tahun ini, namun wujud kemungkinan pembayaran antara pekerja dan ejen di luar pengetahuan mereka.

Jelas syarikat itu lagi, pihak pengurusan sejak beberapa bulan lepas telah berusaha keras untuk menyelesaikan masalah itu, termasuk memastikan amaun bayaran yang tepat dikembalikan kepada pekerja yang sudah membayar kepada ejen masing-masing.

Sementara itu, susulan sekatan itu, saham Top Glove jatuh 2.57 peratus pada tengah hari Khamis, selepas meningkat 350 peratus akibat permintaan mendadak susulan penularan wabak COVID-19.
+60 19-261 6363

Dalam pada itu, melalui satu siri webinar antara Top Glove dan beberapa pemain industri dan media, Pengerusi Eksekutifnya Tan Sri Dr Lim Wee Chai menjelaskan perkara itu boleh diselesaikan dengan segera.

“Jadi saya rasakan perkara ini boleh diselesaikan dalam masa terdekat. Kami akan berhubung dengan konsultan di Amerika Syarikat untuk membantu kami menyelesaikan masalah ini dengan Kastam di sana.

“Sebenarnya jumlah RM20 juta hingga RM50 juta ini adalah peratusan yang kecil berbanding dengan keuntungan yang dijana ekoran prestasi baik sewaktu tempoh COVID-19,” katanya lagi.