Malaysia perlu membuat persiapan yang lebih rapi dalam menuju ke arah penyertaan dalam Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Antara sektor yang perlu diberi penekanan adalah perniagaan kecil dan sederhana (PKS).

Astro AWANI menemu bual Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan untuk mengetahui sejauh manakah Malaysia bersedia untuk menyertai TPPA.

Ikuti temubual ini bersama wartawan Astro AWANI, Malik Ridhwan.

Astro AWANI: Sektor perniagaan kecil dan sederhana antara yang akan terkesan apabila Malaysia menandatangani Perjanjian TPP. Apakah persediaan yang mereka harus lakukan untuk memastikan mereka kekal berdaya saing dan dapat menampung perminyaan yang tinggi di peringkat global?

Wan Saiful: Saya rasa perniagaan kecil dan sederhana perlu meningkatkan kapasiti mereka agar mereka berkebolehan untuk bersaing (di peringkat global). Mereka juga perlu mengurus untuk mengeluarkan produk-produk yang berinovasi tinggi sejajar dengan permintaan negara-negara maju. Pada masa yang sama, dari segi pembikinan dasar, banyak peraturan dan undang-undang juga akan ditingkatkan tarafnya untuk mencapai piawaian antarabangsa. Pegawai-pegawai kerajaan juga perlu dilatih dengan baik supaya mereka lebih bersedia untuk berinteraksi dengan negara-negara luar.

Astro AWANI: Malaysia bakal menjadi tumpuan di mata dunia apabila perjanjian ini dilaksanakan. Apakah sector yang lain yang harus diberi penekanan?

Wan Saiful: Kita kena terima hakikat bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang kecil. Pasaran domestik kita tidaklah begitu besar seperti Thailand dan Indonesia. Sebagai sebuah negara yang kecil, kita kena menjadi sebahagian daripada warga besar dunia. Perjanjian ini meletakkan kita di satu padang permainan di mana pemain-pemain industri adalah mereka yang besar semuanya. Ini akan membuka banyak peluang perniagaan, perdagangan dan pelaburan. Bukan sahaja untuk pelabur-pelabur luar datang ke Malaysia tetapi pelabur-pelabur Malaysia juga dapat ke luar negara. Secara keseluruhannya Perjanjian TPP akan memberi banyak faedah kepada negara.

Astro AWANI: Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah meluluskan usul TPPA. Bagaimana anda lihat mengenai penentangan oleh beberapa kumpulan termasuk pihak pembangkang mengenai Perjanjian TPP?

Wan Saiful: Isu TPPA ini akan terus menjadi satu isu yang diperdebatkan. Ada pihak yang bersetuju dengan Perjanjian TPP dan kita perlu hormat pandangan mereka. Ada pihak yang menyokong. Saya yakin ia akan terus diperdebatkan paling kurang pun 2 tahun lagi sebab kita diberi masa 2 tahun untuk meraktifikasikan Perjanjian TPP. Sepanjang 2 tahun ini, kita perlu satu perdebatan yang sihat antara semua pihak untuk memperjelaskan bagaimana cara untuk mempersediakan semua pihak untuk bersedia apabila TPPA mula dilaksanakan pada 2018. Kita perlu lakukan persediaan yang lebih rapi menuju ke arah itu.




Wan Saiful ditemui Astro AWANI selepas menghadiri sesi meja bulat bersama Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia mengenai masa depan kumpulan pemikir di ibu negara.