Kerajaan pada ketika ini sedang mempertimbang beberapa pilihan bagi penganjuran Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 susulan penularan pandemik COVID-19.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata terdapat tiga kemungkinan berkenaan cara penganjuran yang sedang dipertimbang Kerajaan.

Ujarnya, ia termasuk mengadakan sidang tersebut secara maya atau hibrid iaitu membenarkan delegasi dari negara zon hijau ke Malaysia atau menangguhkan sidang tersebut pada 2023.

“Kerajaan sedang menimbang beberapa pilihan. Sama ada kita buat virtual sepenuhnya tetapi ada juga cabaran yang perlu dihadapi kerana kita ada lapan zon masa di antara anggota ekonomi APEC.

“Kita telah berjaya diperingkat pegawai dan saya percaya perkara ini boleh dipertimbangkan.

“Yang kedua, menggunakan hibrid. Mungkin sebahagian boleh hadir untuk negara-negara yang telah diisytiharkan zon hijau dan negara-negara yang belum lagi, mungkin mereka terpaksa buat secara virtual.

“Kemungkinan ketiga, kita mungkin menimbangkan untuk ambil slot tahun 2023 yang belum ada penganjur pada tahun berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Ignatius Darell Leiking (Warisan-Penampang) yang ingin mengetahui langkah seterusnya kerajaan dalam penganjuran APEC tahun ini susulan penularan pandemik COVID-19.

Menjawab soalan asal, Azmin berkata dalam situasi ekonomi semasa, adalah penting bagi Malaysia mempamerkan komitmen bagi memimpin rantau Asia-Pasifik dalam meningkatkan integrasi ekonomi serantau, khususnya dalam memudah cara aktiviti perdagangan dan pelaburan.

“Penganjuran APEC 2020 merupakan satu platfom strategik bagi Malaysia untuk membuktikan keupayaan dan kemampuan negara dalam memacu agenda pendigitalan dan teknologi tinggi. Pendekatan ini adalah bertepatan dengan usaha untuk meningkatkan daya saing negara di peringkat serantau dan global,” katanya.