Syarikat telekomunikasi gergasi Apple dan Samsung didenda berjuta Euro oleh pihak berkuasa Itali atas kesalahan memaksa orang ramai membeli produk terbaharu mereka.

Pihak Berkuasa Anti-Persaingan Itali dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, kedua-dua syarikat itu dengan sengaja tidak memberikan kemaskini sistem operasi pada produk lama mereka.

Apple didenda 10 juta Euro atau RM48 juta manakala Samsung, 5 juta Euro (RM24 juta).

Menurut kenyataan itu lagi, Apple dikenakan denda lebih tinggi kerana syarikat tersebut gagal memberitahu pelanggan mereka tentang jangka hayat bateri iPhone.

Samsung memberitahu pemilik telefon Note 4 untuk memasang versi baru sistem operasi Android Google yang dikhususkan untuk telefon model lebih baru, Note 7, tetapi ia mengakibatkan kelambatan sistem model lama itu.

BACA: Sengaja perlahankan iPhone, Apple berdepan sembilan saman

Begitu juga, Apple memberitahu pemilik iPhone 6 supaya memasang sistem operasi yang direka untuk iPhone 7, membawa kepada masalah bagi pemilik model lama itu.

Pihak berkuasa Itali itu telah memulakan penyiasatan pada Januari susulan aduan pelanggan.