Tutup

Berita  | Bisnes

Arul Kanda tegas pertahan 1MDB dalam temu ramah BBC

Arul Kanda tegas pertahan 1MDB dalam temu ramah BBC
ARUL KANDA: SPRM telah mengesahkan tiada sebarang dana daripada 1MDB telah dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekali lagi bertegas menafikan tuduhan salah laku dalam kewangan syarikat tersebut.

Dalam satu temu ramah dengan BBC, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Arul Kanda Kandasamy sekali lagi menafikan tuduhan berhubung dana syarikat itu yang kononnya telah dimasukkan ke akaun perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah mengesahkan tiada sebarang dana daripada 1MDB telah dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri. Ini adalah fakta,” kata Arul Kanda dalam satu temu ramah bersama koresponden bisnes BBC Asia, Karishma Vaswani.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah telah mengesahkan dana itu datang daripada seorang penderma di Timur Tengah.
“1MDB bertegas bahawa tiada dana daripada 1MDB pernah dipindahkan ke akaun Perdana Menteri,” tambah Arul Kanda.

Ketika ditanya Vaswani tentang persepsi masyarakat di Malaysia bahawa dana telah disalah guna dalam beberapa syarikat berkaitan 1MDB dan Perdana Menteri, Arul Kanda menjawab: “Persepsi, saya bersetuju dengan anda, sangat rendah dan terdapat banyak usaha untuk memperbaiknya.

“Tetapi, daripada perspektif peribadi, lebih baik saya tidak melibatkan diri dalam perang mulut dengan beberapa ahli politik dan bekas ahli politik.

"Saya bukan ahli politik, saya seorang ahli perniagaan dan tugas saya adalah untuk memastikan aset-aset itu dapat membawa pulangan wang dalam memberi nilai terbaik kepada pemegang syer," kata Arul Kanda.

Terbaharu, di luar perbahasan umum pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Najib menggesa pengurus dana agar mengabaikan 'bunyi bising' di Malaysia berkaitan 1MDB.

Sebaliknya, kata Najib, mereka sepatutnya melihat kepada daya tahan negara dalam menangani keadaan ekonomi semasa global yang tidak menentu.

Mengenai 1MDB, Najib dipetik sebagai berkata syarikat itu dijangka mengumumkan pengurangan jumlah hutangnya sebanyak kira-kira RM16 bilion dan memerlukan tempoh enam bulan hingga akhir tahun untuk mengurangkan hutang sekali gus memulihkan syarikat berkenaan.