ASEAN dijangka menjadi ekonomi keenam terbesar dunia berdasarkan anggaran terbaru berbanding ketujuh pada tempoh 1975 dan 2016, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pencapaian berkenaan juga menunjukkan daya tahan Malaysia, yang merupakan anggota gagasan itu, dalam persekitaran global yang mencabar.

"Ekonomi Malaysia juga menunjukkan pengukuhannya sejak beberapa tahun-tahun kebelakangan ini.Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertumbuhan Kerjasama dan Pembangunan ekonomi (OECD) telah mengeluarkan laporan yang memuji pengurusan makroekonomi kerajaan yang mantap dan kejayaan kita dalam mentransformasi ekonomi menjadi satu ekonomi yang pelbagai dan inklusif, " kata beliau dalam ucap utama pada majlis makan malam dan penyampaian anugerah Pencapaian ASEAN@50 di sini, Jumaat malam.

Majlis berkenaan dianjurkan oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Najib berkata antara 2009 dan 2016, Pendapatan Negara Kasar Malaysia telah meningkat hampir 50 peratus dan sejumlah 2.26 juta pekerjaan berjaya diwujudkan.

"Kadar inflasi dan pengangguran Malaysia masih rendah dan kita telah memperoleh pelaburan langsung asing yang tinggi ketika pembangkang berusaha menakut-nakutkan rakyat bahawa Malaysia kononnya muflis," kata Najib.

Beliau berkata syarikat tidak akan melabur di Malaysia, sekiranya mereka berpendapat sedemikian dan turut memberi contoh HSBC Bank yang melabur lebih RM1 bilion untuk membina ibu pejabat serantau di Tun Razak Exchange.

Selain itu, Saudi Aramco melabur US$7 bilion untuk kepentingan 50 peratus dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) di Johor, kata beliau.

Najib berkata dengan pelaburan berkenaan, pekerjaan diwujudkan, kenaikan gaji serta dan kemahiran dapat dipindahkan, yang baik untuk pelabur dan rakyat Malaysia.

"Kita mempunyai rancangan dan rancangan telah dilaksanakan, dan akan terus melaksanakannya," kata perdana menteri.

Seramai 600 tetamu dari Malaysia, rantau ASEAN dan negara lain turut menghadiri majlis berkenaan.

--BERNAMA