Astro Malaysia Holdings Berhad melantik Euan Smith sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TV dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan berkuatkuasa 1 April.

Menurut Astro, pelantikan tersebut adalah sebahagian daripada pelan transformasi perniagaan dan sumber manusia, dengan mengambil kira perubahan dalam industri media dan hiburan semasa.

"Dalam masa satu tahun yang lalu, Astro telah mengetengahkan strategi yang memberikan kelainan kepada perkhidmatannya termasuk Broadband dan OTT.

"Ia juga telah meningkatkan pengalaman pelanggan menerusi antaramuka atau 'interface' baharu dan Ultra Box.

"Astro juga mengukuhkan penawaran menerusi pelaburan dalam kandungan tempatan, meningkatkan khidmat pelanggan dan pelbagai inisiatif membanteras kandungan cetak rompak," kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Henry Tan, Euan Smith berpengalaman dalam Televisyen Berbayar dan akan menjadi tambahan yang bernilai kepada Astro.

"Kami berbesar hati mengalu-alukan kedatangan Euan ke syarikat ini. Beliau berpengalaman dalam Televisyen Berbayar di peringkat global dan akan menjadi nilai tambah kepada pasukan ini.

"Beliau mempunyai rekod yang terbukti sebagai pakar transformasi dan kami teruja untuk bekerjasama dengannya dalam mencapai matlamat yang menjadi sasaran syarikat," kata Tan.

Euan mempunyai pengalaman dalam pengurusan kanan di Sky UK, Sky Germany, Fox dan Foxtel serta mendapat pendidikan di University of Birmingham dan Harvard Business School.