Penyedia perkhidmatan televisyen satelit, Astro yakin mampu memperoleh 90 peratus capaian pelanggan iaitu sekitar tujuh juta isi rumah dalam tempoh lima tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Rohana Rozhan berkata ia sekali gus membolehkan Astro menyediakan akses kepada 30 juta individu di rumah serta menerusi Astro On The Go.

Menurut Rohana, selepas 20 tahun menyediakan khidmat kepada pelanggan, Astro berhasrat untuk terus menyediakan pelbagai kandungan bagi menarik lebih ramai pengguna.

"Melangkah ke dekad ketiga, kita akui bahawa daya saing untuk memenangi masa dan wang pengguna akan dilihat lebih sengit dengan kehadiran aspek digital dalam industri media yang serba berubah.

"Menerusi pendekatan dua hala, model bayar dan perniagaan percuma, kami yakin Astro mampu mencapai 90 peratus capaian pelanggan iaitu sekitar tujuh juta isi rumah dalam tempoh lima tahun," katanya selepas melancarkan sambutan ulang tahun ke-20 Astro di Pusat Penyiaran Astro Bukit Jalil pada Isnin.


Menurut Rohana lagi, kunci kepada kejayaan syarikat selama 20 tahun adalah daripada segi keupayaan Astro mengenali pelanggannya dengan lebih baik selain peka dengan cabaran mendatang.

"Dengan landskap media dan pengguna yang kini dilihat berubah dengan pantas, kami perlu menggabungkan keupayaan kreatif kami dengan peredaran teknologi dan kebolehan kami untuk melaksanakannya dengan kebijaksanaan dan disuntik dengan keusahawanan yang jitu," kata Rohana.

Sementara itu, bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-20, pelanggan Astro mendapat akses percuma kepada saluran Astro Fiesta 966 dan 988 serta OD Fiesta bermula 10 Oktober hingga 31 Disember.

Selain itu, pelanggan Astro juga berpeluang memenangi salah satu daripada 20 pengalaman eksklusif ‘sekali seumur hidup’ seperti lawatan ke perlawanan Liga Perdana Inggeris di England dan lawatan ke Ireland Utara bagi merasai pengalaman ‘Game of Thrones’.

Pelanggan boleh melayari laman web www.astro.com.my/celebrating-you untuk maklumat lanjut.