Tiga tunjang digariskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi Bajet 2017.

Fokus utama Bajet 2017 adalah ‘Menjamin Perpaduan & Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh' ketika mendepani cabaran ekonomi yang diuji ketidaktentuan di peringkat global.

Keseluruhannya, RM262.8 bilion diperuntukkan untuk tahun depan di mana RM214.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Bajet tahun depan juga menyaksikan pengurangan defisit fiskal kepada 3 peratus berbanding 3.1 peratus tahun 2016.

“Ini tidak termasuk simpanan luar jangka sebanyak RM2 bilion. Di bawah Peruntukan Mengurus, RM77.4 bilion adalah untuk Emolumen, serta RM32 bilion untuk Perkhidmatan dan Bekalan,” kata Najib ketika membentangkan Bajet 2017 setebal 65 muka surat di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Beliau juga berkata, kerajaan pimpinannya telah berjaya mempertahankan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada purata enam peratus setahun.

Ketika berucap membentangkan Bajet 2017, Perdana Menteri bertegas bahawa Malaysia bukan sebuah negara yang gagal dan dakwaan itu adalah fitnah semata-mata.

“Salah faham dan salah persepsi bahawa Malaysia is a Failed State, atau negara yang gagal,” katanya.

Tegas Najib, failed state bermakna sesebuah negara gagal melaksanakan sebahagian besar tangungjawab dan fungsi asas kerajaan.

“Ini termasuk kegagalan anggota polis dan tentera mengawal keamanan dan keselamatan selain kegagalan kerajaan membayar gaji penjawat awam,” katanya.

Sebaliknya Najib bertegas, ciri-ciri negara gagal tidak wujud di Malaysia dan Malaysia bukan di ambang muflis.