Negara-negara membangun di Asia Timur perlu terus menyesuaikan strategi mereka untuk mengurangkan kemiskinan kerana pelan sedemikian telah terbukti mencapai kejayaan dalam tempoh 20 tahun lepas, kata Ketua Pakar Ekonomi Bank Dunia bagi Asia Timur dan Pasifik, Dr Sudhir Shetty.

Beliau berkata dengan adanya strategi ini, 40 peratus daripada penduduk rantau itu telah keluar daripada kepompong kemiskinan tegar, dengan tinggal hanya tiga peratus sahaja lagi atau satu daripada lapan orang dalam kategori itu.

Sudhir berkata dalam konteks Malaysia, pelan sedemikian juga telah berjaya hampir membasmi kemiskinan.

"Bagaimanapun, penting bagi kerajaan untuk melihat kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus ke bawah (B40) dan kumpulan kelas pertengahan bagi memastikan mereka berupaya menambah baik status ekonomi mereka," katanya selepas majlis pelancaran laporan Bank Dunia bertajuk 'Riding the Wave: An East Asian Miracle for the 21st Century' di Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini, hari ini.

Selain itu, Sudhir turut menegaskan program insurans sosial juga penting bagi menangani risiko atau mendepani kesan-kesan kejutan ekonomi kerana ia boleh menghalang kemajuan kumpulan itu.

"Malaysia juga perlu memantapkan tadbir urus dan institusinya dari segi mengumpulkan wang menerusi cukai, yang akan menjadi satu cabaran.

"Bagaimanapun, persoalannya sekarang adalah bagaimana kerajaan boleh memastikan perbelanjaan wang pembayar cukai akan memanfaatkan rakyat terutamanya dalam pendidikan?" katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak seharusnya dilihat sebagai penyelesaian tetapi sebagai satu inisiatif untuk membantu meringankan sedikit bebanan kewangan mereka.

"Kita tidak boleh nafikan yang bantuan sentiasa diperlukan dan bukan sahaja akan meringankan bebanan mereka tetapi juga akan membantu mereka berdiri sendiri pada masa depan.

"Bagaimanapun, program sedemikian suatu hari kelak perlu ditamatkan," katanya.

Sementara itu, Noor Azlan berkata, dalam menerima pakai Revolusi Perindustrian 4.0, kerajaan perlu menambah baik lagi hubungan Internet bagi memastikan mereka (B40) boleh meneroka peluang yang lebih besar.

"Dengan revolusi 4.0 di mana segala-galanya didigitalkan, mempunyai platform seperti itu akan meningkatkan kehidupan serta pendapatan mereka," katanya. -- Bernama