Bank Rakyat mengumumkan penamatan khidmat Datuk Noripah Kamso sebagai pengerusi serta semua jawatan lain yang disandang beliau di Bank Rakyat, termasuk sebagai Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, berkuat kuasa 4 April 2020.

Kontrak beliau sepatutnya berakhir pada Disember 2020.

Sebab penamatan awal kontrak beliau bagaimanapun tidak dimaklumkan oleh Bank Rakyat, mahupun oleh Noripah sendiri setelah dihubungi Astro AWANI.

Bank Rakyat dalam kenyataannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Noripah yang telah berkhidmat bersama Bank Rakyat sejak 11 Disember 2018.

“Kami menghargai jasa dan khidmat yang diberikan Datuk Noripah Kamso terutamanya dalam mengemudi perancangan dan memimpin agenda kelestarian Bank serta mendoakan yang terbaik untuk masa hadapan beliau,” kata bank itu.

Bank Rakyat optimis perubahan dalam kepimpinan Bank tidak akan menjejaskan operasi dan hala tuju yang telah direncanakan.

Pengumuman pelantikan Pengerusi Bank Rakyat yang baharu akan dimaklumkan sebaik sahaja proses pelantikannya dimuktamadkan.

Sebelum ini, bank itu telah melantik CEO baharu, Datuk Rosman Mohamed awal tahun ini.