Antara cabaran terbesar yang dihadapi oleh penyedia kemudahan pembayaran dan pedagang mereka ialah ketidakupayaan sistem perbankan mengendalikan jumlah urus niaga yang dibuat.

Ini adalah hasil daripada perkembangan pesat e-dagang, dan menyebabkan masa tidak berjadual dalam sistem perbankan tempatan, terutamanya semasa tempoh gaji.

Penemuan ini terkandung dalam kertas putih bertajuk, "Demand Outstrips Capacity: Logistical Challenges and Best Practices for Malaysian e-Commerce" diterbitkan oleh Majlis Teknologi Informasi dan E-dagang Selangor (SITEC).

Menurut SITEC, banyak bank enggan untuk menaik taraf sistem mereka kerana kesukaran dan kos melaksanakannya.

"Pada pendapat wakil kemudahan pembayaran ini, cara terbaik untuk menyelesaikannya ialah melalui bank pusat.

"Langkah untuk menerima pakai urus niaga dalam talian adalah selaras dengan objektif Bank Negara Malaysia untuk menghadkan peredaran mata wang kerana kos mengendalikannya yang tinggi," katanya.

Para peniaga juga kadang-kadang mengalami kesukaran dalam mematuhi peraturan-peraturan bank, menyarankan perlunya untuk proses lebih mudah untuk menyokong potensi pertumbuhan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif SITEC Yong Kai Ping berkata majlis itu telah membimbing dan melatih 190 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menjual secara dalam talian dan telah menghasilkan jualan lebih RM1.3 juta.

Terdapat 700,000 PKS di Malaysia tetapi perangkaan semasa menunjukkan bahawa hanya 15 peratus menjalankan perniagaan dalam talian.

"Sasaran kami ialah untuk memperbaiki keadaan e-dagang, dari segi standard dan jumlah peniaga yang terdapat di pasaran.

"Peringkat seterusnya adalah untuk menghasilkan perkhidmatan yang lebih baik dan mengekalkan pelanggan, dan langkah ketiga untuk menggalakkan peniaga memasuki pasaran serantau," katanya.

Bagi mencapai pertumbuhan yang diingini, SITEC menggalakkan e-dagang di Malaysia, serantau dan antarabangsa, untuk mencontohi negara-negara yang telah berkembang dalam perdagangan rentas sempadan seperti China, Taiwan, Jepun dan Korea Selatan.

Walaupun kemudahan pembayaran telah meningkatkan keselamatan transaksi dalam talian, masih terdapat kebimbangan dan ancaman untuk pembeli dalam talian.

Bagi mengurangkan risiko sedemikian, pengguna disarankan agar memilih pembayaran tunai semasa penghantaran jika kemudahan pembayaran yang selamat tiada, katanya.