Moody's Investors Service Ltd berpendapat bantuan kewangan oleh kerajaan Malaysia berjumlah RM6.2 bilion kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebagai kredit negatif.

Agensi penarafan itu, bagaimanapun, mengambil perhatian bahawa dengan imbangan tunai Felda yang mengecil, agensi milik kerajaan itu kemungkinan tidak mampu memenuhi tanggungjawabnya untuk membayar hutang tanpa bantuan kerajaan.

Moody's berkata bantuan itu akan menambah beban hutang kerajaan sebanyak 0.3 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 56.0 peratus pada 2019, lebih tinggi daripada nisbah hutang median bagi penarafan berdaulat A iaitu sebanyak 37.8 peratus.

"Dalam anggaran kami, kami memasukkan hutang dana pelaburan milik kerajaan 1Malaysia Development Bhd dan RM20 bilion pembiayaan disediakan untuk Tabung Haji, dana tabung haji milik kerajaan, pada akhir tahun lepas menerusi terbitan sukuk bagi aset-asetnya.

"Beban hutang lebih tinggi akan memberi kesan terhadap keupayaan Malaysia membayar hutang, terutamanya kerana perkongsian hasil kepada KDNK sebanyak 16.3 peratus pada 2018, manakala pembayaran kadar faedah pada 3.3 peratus daripada hasil, lebih tinggi daripada median penarafan A pada 4.0 peratus," kata Moody's dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA