Moody's Investors Service berpendapat bahawa Belanjawan 2019 yang baharu dibentang Jumaat lalu, adalah satu pembentangan baik kerana menunjukkan ketelusan yang lebih ketara.

Namun agensi penarafan itu menunjukkan sedikit kegusaran kerana berpendapat fiskal defisit negara yang ditetapkan, meningkat, sesuatu di luar jangkaan badan penarafan antarabangsa itu.

Moody's berkata, ketelusan yang ditunjukkan oleh kerajaan dibuktikan melalui tumpuan kepada pertumbuhan inklusif.

Sekiranya pendekatan ini berterusan, Moody's yakin ia akan menyumbang kepada kredit positif untuk Malaysia.

Walau bagaimanapun, dalam jangka pendek, Moody's berkata, defisit fiskal Malaysia adalah tinggi dan semakin meningkat.

Ini disebabkan oleh kebergantungan negara kepada pendapatan minyak yang tidak menentu sekali gus akan melemahkan profil fiskal Malaysia. Ini mungkin akan menyebabkan negara mengalami kredit negatif.

Moody's sebelum ini menyasarkan defisit fiskal sebanyak 3.4 peratus daripada KDNK untuk tahun 2019.

Ramalan ini adalah lebih tinggi daripada anggaran rasmi tahun 2018 iaitu 3.7 peratus.

Walau bagaimanapun, unjuran Moody's untuk tahun 2018 melebihi sasaran asal yang dianggarkan sebanyak 2.8 peratus daripada KDNK.

Pada tahun 2018, dividen yang lebih tinggi daripada syarikat minyak milik negara, Petronas tidak akan menjejaskan kerugian hasil peralihan dari Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Belanjawan 2019 juga menunjukkan tahap hutang Malaysia yang tinggi, dan ini mungkin berterusan untuk tempoh lebih lama daripada yang diharapkan kerana defisit mungkin kekal melebihi tiga peratus daripada KDNK sehingga tahun 2020.

Dalam jangka pendek, pengurangan defisit berkemungkinan akan berlanjutan kerana kebergantungan negara terhadap sumber bukan cukai.

Moody's beranggapan bahawa hutang kerajaan akan mencapai sehingga 51.1 peratus daripada KDNK bagi tahun 2019. Ini lebih tinggi dari anggaran awal iaitu 50.6 peratus untuk tahun 2018.

Buat masa ini, Moody's memberikan unjuran penarafan median A-rated 40.9 peratus untuk 2018,
dengan kekangan fiskal sebagai cabaran kredit utama.

Moody juga mengatakan bahawa beberapa langkah yang dilaksanakan kerajaan, iaitu meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti akaun awam adalah langkah-langkah yang baik.