Tutup

Berita  | Bisnes

Belanjawan Johor 2019: Kerajaan setuju hapuskan 57 peratus hutang negeri Johor

Belanjawan Johor 2019: Kerajaan setuju hapuskan 57 peratus hutang negeri Johor
Pejabat Perdana Menteri Johor. - Gambar hiasan
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Persekutuan bersetuju menghapuskan hutang lapuk kerajaan negeri Johor sejumlah RM189 juta.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, ketika pembentangan Belanjawan Johor 2019 di Dewan Undangan Negeri Johor, di sini hari ini.

Jumlah tersebut merupakan kira-kira 57 peratus daripada jumlah hutang kerajaan negeri Johor dengan Kerajaan Persekutuan.

“Dengan sokongan jitu dari barisan kepimpinan Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Negeri Johor, barisan anggota Perkhidmatan Awam Johor, disertai dengan sokongan padu menerusi muafakat Bangsa Johor, dengan ini saya mengisytiharkan kerajaan persekutuan bersetuju untuk melupuskan hutang lapuk kerajaan negeri sebanyak RM189 juta,” katanya.
Osman turut berkata, kerajaan negeri kini dalam proses meminta Kerajaan Persekutuan melupuskan baki hutang yang selebihnya.

“Persetujuan penyelesaian ke atas jumlah baki hutang sebanyak RM145 juta ini pula, telah pun diusahakan dan pada peringkat akhir rundingan untuk dilupuskan oleh pihak Kerajaan Persekutuan.
 

Insya-Allah, barisan kepimpinan kerajaan negeri beriltizam untuk menjadikan negeri kita bebas hutang mulai tahun-tahun berikutnya,” tambahnya lagi.

Kerajaan negeri Johor mempunyai jumlah hutang sebanyak RM334 juta dengan Kerajaan Persekutuan.