Program Best Exporters 2.0 (BEP 2.0) akan menerima suntikan dana sebanyak RM5 juta daripada kerajaan untuk tempoh setahun.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, ia sebagai tanda sokongan kementeriannya terhadap inisiatif bagi membantu sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam memacu ekonomi negara.

Tambahnya lagi, penganjuran program BEP tepat pada masanya, terutamanya bagi meningkatkan sumbangan PKS kepada eksport negara.

“Jika sasarannya tinggi, kementerian akan mengkaji untuk meningkatkan dana.

“Ia terpulang kepada maklum balas daripada usahawan. Kami ingin membangunkan usahawan dan bukan hanya memberikan pembiayaan.

“Kalau kami merasakan RM5 juta itu tidak mencukupi untuk BEP 2.0 RM5, insya-Allah saya akan berbincang dengan kementerian untuk kami tambah lagi,” katanya pada majlis penutup program BEP yang berlangsung di ibu kota pada Selasa.

Pada majlis itu, Mohd Redzuan turut melancarkan platform digital, Odela yang dibangunkan untuk memudahkan operasi perniagaan ke perniagaan (B2B) bagi memastikan ia lebih sistematik dan berinformasi.



Program BEP raih RM141.4 juta hasil eksport

Sementara itu, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail menjelaskan program BEP yang dilancarkan tiga tahun lalu berjaya meraih hasil eksport RM141.1 juta berbanding sasaran awal RM50 juta.

Katanya lagi, ia merupakan peningkatan 238 peratus yang disumbang 73 syarikat.

“Di bawah program BEP ini, usahawan yang terlibat telah menjalani pelbagai aktiviti dan program penambaikan antaranya latihan, bimbingan, konsultasi dan juga penglibatan dalam pameran perdagangan antarabangsa.

“Modul penambaikan memberi fokus kepada bidang Produksi/Teknikal, Kewangan, Modal Insan, Keperluan Eksport, Pemasaran serta Piawaian & peraturan,” kata Aria.

Program BEP merupakan program membabitkan kerjasama tiga agensi iaitu SME Bank, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).