Bank Negara Malaysia memberikan tempoh masa kepada One Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi melakukan penstrukturan menggunakan wang yang sepatutnya dibawa pulang ke Malaysia.

Menurut Gabenor Datuk Muhammad Ibrahim, Bank Negara bagaimanapun tidak menetapkan tempoh masa memandangkan penstrukturan memakan masa panjang.

Beliau pada masa sama berkata 1MDB juga sudah menyatakan komitmen bayaran kompaun sebelum tarikh akhir 30 Mei ini.

"Penstrukturan memakan masa, mereka perlu merundingan penyelesaian. Berikan mereka masa yang cukup untuk selesaikan tanggungan.

"Apabila penstrukturan hutang dilakukan, ia memakan masa kerana melibatkan banyak pihak. Rundingan dan penyelesaiana bakal memakan masa bergantung kepada kerumitan," kata beliau dalam pembentangan prestasi ekonomi suku pertama 2016 di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan jumlah kompaun yang dikenakan terhadap 1MDB.

BNM pada 28 April mengeluarkan surat kompaun pentadbiran kepada 1MDB kerana gagal mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Ini termasuk mengkehendaki 1MDB menghantar balik wang yang dikirim ke luar negara berikutan pembatalan tiga kelulusan yang diberikah oleh BNM kepada 1MDB masing-masing pada 2009, 2010 dan 2011.

1MDB juga gagal mengemukakan bukti dan dokumen yang ditetapkan oleh BNM untuknya memberikan alasan yang kukuh berhubung ketidaupayaan untuk mematuhi sepenuhnya arahan penghantaran balik itu.

Pembayaran kompaun itu menandakan tamatnya siasatan BNM berhubung ketidakpatuhan 1MDB terhadap peraturan dan pengawalan BNM