Berita  |  Bisnes

Bina rumah dengan kos lebih rendah dengan teknologi IBS

Bina rumah dengan kos lebih rendah dengan teknologi IBS
Rumah contoh di Pusat IBS CIDB yang dibina menggunakan sistem IBS - Gambar CIDB
KUALA LUMPUR: Pembeli rumah akan dapat menikmati tempoh pembinaan yang lebih singkat dengan penggunaan sistem bangunan industri (IBS).

Ia pada masa sama akan dapat mengurangkan kos pembinaan sesebuah infrastruktur dan memperbanyakkan rumah mampu milik.

Pengurus Besar Kanan Sektor Pembangunan Teknologi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Datuk Ir Elias Ismail berkata menjelang tahun 2018, beliau berharap lebih banyak projek swasta dapat menggunakan kaedah IBS dengan minima 50 peratus komponen IBS digunapakai.

Beliau menambah, kaedah IBS telah lama digunakan dalam projek kerajaan yang mewajibkan setiap projek pembinaan menggunakan 70 peratus komponen IBS.

“Harga sesebuah rumah dipengaruhi oleh banyak faktor. Tetapi sudah pasti apabila kita menggunakan IBS, harga rumah boleh turun.

"Apabila tempoh pembinaan dipendekkan, bilangan pekerja dikurangkan dan jumlah pembaziran bahan binaan dikawal, kos untuk pembinaan akan berkurangan.”

Datuk Ir Elias Ismail
Pengurus Besar Kanan Sektor Pembangunan CIDB

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas sesi taklimat bersama pengarang-pengarang kanan organisasi media tempatan di pusat IBS CIDB pada Isnin.
Tambahnya, dari segi kos, kaedah pembinaan IBS dengan konvensional tidak banyak beza.

Namun struktur binaan IBS lebih berkualiti dan dikawal rapi oleh kumpulan pemantau yang terdiri daripada pakar yang diiktiraf.

Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Ir Adanan Mohamed Hussian sebelum ini dilaporkan  berkata, saranan penggunaan IBS sejajar dengan keputusan parlimen pada September tahun lalu.

Kabinet sebelum ini meluluskan ketetapan setiap infrastruktur yang dibina oleh pemaju swasta perlu mengguna pakai 50 peratus komponen IBS.


CIDB: PKS digesa rebut peluang sertai perniagaan IBS

Sementara itu Bernama melaporkan CIDB turut menggesa lebih banyak peniaga kecil dan sederhana (PKS) menceburi perniagaan berasaskan IBS.

Ini sekaligus dapat membantu meningkatkan jumlah rumah mampu milik dalam negara.

Elias berkata dengan melibatkan lebih banyak PKS dalam proses pembuatan komponen IBS, ia akan melonjakkan industri IBS negara pada masa depan.

"Selain mampu menjadikan industri IBS lebih kompetitif, penawaran komponen IBS yang lebih banyak dari PKS akan mendorong lebih ramai kontraktor mengadaptasikan penggunaan IBS di dalam projek perumahan mereka."

Datuk Ir Elias Ismail
Pengurus Besar Kanan Sektor Pembangunan CIDB


Tambahnya, banyak insentif telah disediakan oleh CIDB dan kerajaan bagi menggalakkan penggiat industri bertaraf PKS menceburi IBS.

Ia termasuk pemberian pengecualian bayaran levi sekiranya projek perumahan tersebut mencapat skor IBS minimum sebanyak 50 peratus.

“Sebelum ini PKS tidak terlibat dalam IBS kerana kaedah tersebut melibatkan modal yang tinggi. Jadi sekarang kita boleh (menggalakkan mereka dengan) menyediakan bantuan pinjaman seperti ini," katanya.


Sebelum ini PKS tidak terlibat dalam IBS kerana kaedah tersebut melibatkan modal yang tinggi.


Semasa pembentangan Bajet 2016 yang lalu, Perdana Menteri mengumumkan dana khas promosi IBS sebanyak RM500 juta diberikan melalui SME Bank kepada pemaju dan kontraktor kategori G5 dan ke bawah.

IBS merupakan satu teknik pembinaan di mana komponen dikilangkan dalam persekitaran yang terkawal sama ada di dalam atau di luar tapak pembinaan.