Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini mengeluarkan standard yang dipertingkatkan bagi Dokumen Dasar Penetapan Kadar KLIBOR yang menggariskan pemberhentian berperingkat kadar KLIBOR sembilan bulan berkuat kuasa mulai 1 Jan, 2018.

Dalam satu kenyataan, BNM berkata ia turut melibatkan langkah-langkah untuk terus mengukuhkan integriti kadar rujukan KLIBOR.

Langkah-langkah ini diperkenalkan berikutan satu kajian semula proses penetapan kadar KLIBOR dan secara umumnya merangkumi bidang tadbir urus, pengawasan, kebertanggungjawapan dan ketelusan, katanya.

Langkah-langkah ini menyelaraskan Dokumen Dasar dengan amalan terbaik antarabangsa di bawah Prinsip-prinsip Penanda Aras Kewangan yang dikeluarkan oleh Persatuan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO).

"Langkah ini diputuskan setelah menerima maklum balas daripada industri dan mengambil kira permintaan pasaran terhad, kerelevanan dan kecukupan data transaksi bagi menyokong proses penetapan kadar KLIBOR sembilan bulan," kata BNM.

Dalam tempoh peralihan mulai 1 Januari 2017, semua peserta pasaran yang mempunyai perjanjian kontrak sedia ada yang merujuk kepada KLIBOR sembilan bulan dikehendaki mengkaji semula perjanjian masing-masing untuk memberi mekanisme alternatif kepada pelanggan mereka.

Ini termasuk penggunaan penanda aras yang lain, penentudalaman tempoh KLIBOR sedia ada, atau mana-mana mekanisme lain yang dipersetujui bersama.

Perjanjian kontrak baharu tidak perlu lagi merujuk kepada KLIBOR bertempoh sembilan bulan.

Menurut BNM, setelah mengadakan perundingan, BNM akan bekerjasama dengan industri kewangan bagi memastikan pelaksanaan rangka kerja penetapan kadar KLIBOR berjalan lancar.

Jika perlu, BNM akan memberi bimbingan selanjutnya kepada peserta pasaran semasa tempoh fasa peralihan daripada pemberhentian KLIBOR bertempoh sembilan bulan kepada mekanisme alternatif.

-- BERNAMA