Bank Negara Malaysia (BNM) telah meluluskan sistem pembayaran digital Sarawak Pay, kata Ketua Menteri Datuk Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata kebenaran tersebut yang diperolehi minggu lepas bakal menyaksikan pelaksanaan sistem itu bermula tahun depan melibatkan pembayaran bagi perkhidmatan kerajaan dan agensi di bawahnya.

"Selepas ini pembayaran perkhidmatan kerajaan serta outlet Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sarawak (SEDC) termasuk hotel boleh bayar menggunakan Sarawak Pay," katanya.

Abang Johari mengumumkan perkara tersebut dalam sesi Forum Belia Tegas di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Sabtu.

Ketika ditemui pemberita selepas forum itu, beliau berkata satu aplikasi akan diperkenalkan bagi pembayaran menerusi Sarawak Pay.

"Buat permulaan rakyat boleh membuat bayaran semua perkhidmatan kerajaan menerusi Sarawak Pay, antaranya cukai tanah dan cukai taksiran," katanya.

Pada September lalu, Abang Johari mengumumkan kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan syarikat multinasional dari China iaitu Huawei untuk membangunkan Sarawak Pay.

-- BERNAMA