Boustead Holdings Bhd (BHB), yang menjual Hotel Royale Chulan Bukit Bintang di Kuala Lumpur kepada Hotel Royal Ltd, syarikat yang disenaraikan di Singapura dengan nilai RM197 juta secara tunai, dijangka mencapai keuntungan dianggarkan sebanyak RM92 juta apabila selesai langkah tersebut.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, BHB berkata ini menyumbang kepada 4.5 sen sesaham.

Jurucakap BHB dalam kenyataan pada Jumaat berkata penjualan hotel itu merupakan sebahagian daripada rancangan keseluruhan kumpulan Boustead untuk kembali mencatat keuntungan dengan cara menjual aset bukan strategik.

Hotel tersebut yang terletak di Jalan Conlay, menghadapi persaingan sengit di kawasan Segitiga Emas Kuala Lumpur termasuk daripada platform dalam talian seperti Airbnb.

Persaingan itu mengakibatkan kadar penghuniannya rendah sebanyak 52 peratus pada 2018 berbanding kadar purata penginapan hotel di Lembah Klang yang mencatatkan kira-kira 74 peratus, kata BHB.

BHB berkata kerja-kerja pengubahsuaian juga diperlukan untuk hartanah yang telah berusia itu untuk kekal menarik dan berdaya saing.

Mengambil kira prospek untuk menguruskan hotel tersebut, penjualan itu menawarkan nilai yang lebih tinggi kepada kumpulan tersebut.

Lokasi strategik Hotel Royale Chulan Bukit Bintang membolehkan kumpulan itu menjual hotel tersebut pada nilai premium berbanding nilai penetapan bersih, kata BHB.

Cadangan penjualan itu, bagaimanapun bersyarat, antaranya pembeli mendapat kelulusan daripada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Malaysia dan kelulusan daripada Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan serta memenuhi semua syarat dan keperluan penyenaraian yang ditetapkan oleh Singapore Exchange Securities Trading Ltd.

Cadangan penjualan itu dijangka selesai menjelang Julai 2019.

-- BERNAMA