Brahim’s SATS Food Services Sdn Bhd (BSFS) akan menjadi penyedia makanan buat Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) tidak lama lagi, menurut Ketua Pegawai Eksekutif BSFS, Ainul Hasnizam Abu Hassan.

“Selepas tempoh percubaan menyediakan hidangan buat ETS, mereka kini memberi kepercayaan sepenuhnya kepada BSFS dan akan menandatangai kontrak pada akhir bulan ini," katanya.

Tambah Ainul, kerjasama dengan anak syarikat Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) itu dijangka melonjakkan peratusan perniagaan bukan penerbangannya kepada 10 peratus berbanding empat peratus kini.

“Ia sebagai usaha untuk mempelbagaikan sumber pendapatan syarikat berbanding hanya bergantung kepada sektor penerbangan.

“Kami bukan sahaja menjual makanan, tetapi kami menyediakan perkhidmatan yang lengkap seperti dari segi kebersihan dan cara penyediaan yang sama dengan menyediakan hidangan untuk peniagaan dalam penerbangan.

“Setakat ini kami mampu menyediakan purata hampir 50,000 hidangan sehari dari dapur utama dan kami berharap dapat menyediakan 10,000 lagi hidangan buat peniagaan bukan penerbangan,” katanya sewaktu sidang media selepas majlis lawatan media ke premis BSFS.

BACA: Brahim's sasar tingkat sumbangan segmen bukan penerbangan kepada 30-40 peratus

Pada tahun lepas, Brahim's Holdings Bhd menyasar untuk melonjakkan hasil perniagaan bukan penerbangannya kepada 30-40 peratus dalam masa dua tahun lagi bagi mengurangkan kebergantungan terhadap perniagaan katering dalam pesawat.

Sementara itu, syarikat katering halal dalam pesawat tersebut, kini menyediakan makanan buat 32 syarikat penerbangan termasuk empat syarikat penerbangan bertaraf dunia iaitu Qatar Airways, ANA All Nippon Airways, Emirates dan Cathay Pacific Airways.