Broker saham perlu mengguna pakai pendigitalan dengan lebih luas untuk menarik generasi pelabur muda dan meningkatkan penyertaan awam dalam pasaran saham, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata dalam dunia hari ini apabila hampir semuanya berada dalam talian, tidak lagi mencukupi untuk menjadi hanya broker tradisional; mereka perlu mempunyai operasi dalam talian untuk memenuhi keperluan generasi mudah alih.

"Pelabur mahukan perkhidmatan yang lebih baik pada harga yang lebih murah, suatu yang mencabar kepada mereka yang enggan berubah mengikut masa.

"Selain pendigitalan yang lebih luas, broker perlu mempelbagaikan produk mereka untuk menarik kumpulan pelabur baharu," katanya dalam ucapan pada Bursa Excellence Awards 2018 di sini pada Selasa.

Ucapan Lim disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Datuk Asri Hamidon.

Beliau berkata Garis Panduan Dana Dagangan Bursa (ETF) yang disemak semula baru-baru ini, akan membolehkan pelbagai produk yang lebih luas dibangunkan untuk mereka yang mempunyai minat terhadap risiko yang berbeza.

"ETF merupakan kelas aset yang menarik menyediakan pelabur dengan pilihan kepelbagaian yang berpatutan dalam pasaran modal.

"Ia merupakan produk yang baik kepada pelabur baharu yang berupaya bukan sahaja menggalakkan penyertaan awam yang lebih baik dalam pasaran, tetapi turut memastikan kekayaan negara dapat dikongsi dengan lebih saksama kepada kumpulan individu yang lebih luas," katanya.

Lim berkata walaupun sentimen mencabar pada separuh kedua 2018, Malaysia mencatatkan purata jumlah harian tertinggi sebanyak RM2.4 bilion dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) untuk dua tahun sebanyak 14.4 peratus merupakan kedua tertinggi dalam ASEAN.

Bursa Excellence Awards 2018 yang dianjurkan oleh Bursa Malaysia untuk mengiktiraf prestasi cemerlang broker dan pengantara pasaran yang membantu membina pasaran modal dalam tiga segmen, iaitu ekuiti, derivatif dan pasaran modal Islam.

-- BERNAMA