Kadar pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) disifatkan masih rendah dan tidak memberi kesan besar kepada usaha mengurangkan kemiskinan serta isu kesamarataan di Malaysia.

Pakar Ekonomi Kanan, Hab Penyelidikan dan Pengetahuan Global Kumpulan Bank Dunia di Malaysia, Dr Kenneth Simler menjelaskan, hasil kajiannya mendapati kenaikan sehingga lebih 50 peratus kadar BSH mampu mengatasi masalah berkenaan.

"Kelebihan BSH diakui ada sasaran yang baik. Namun impak ke atas usaha mengurangkan kemiskinan dan isu kesamarataan mungkin kerana jumlah pemberiannya yang kecil untuk isi rumah. Jadi walaupun ia mensasarkan mereka yang layak menerimanya namun ia masih tidak memberi kesan besar, melainkan jumlah bayaran (BSH) diterima adalah tinggi," kata Dr Kenneth.

Beliau ditemui Astro AWANI selepas Forum "A Better Bantuan Sara Hidup (BSH) Cash Tranfer Programming and Social Assistance" di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di sini, pada Selasa.

Dr Kenneth Simler berkongsi dapatan kajian pada Forum

Malah, analisa dilakukan menunjukkan BSH adalah tidak ada beza dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dilaksanakan kerajaan terdahulu.

"Kesan BR1M dan BSH serupa kerana pemberiannya dalam keadaan yang sama. Saya rasa kita dapat melihat impaknya jika jumlah pemberian BSH dinaikkan dan pada masa berlaku kenaikan pendapatan isi rumah," ujarnya lagi.

Dalam pada itu katanya, penambahbaikan juga boleh dilakukan dalam aspek kumpulan sasaran dan komposisi pendapatan penerima BSH.

"Sebagai contoh, seorang individu yang pendapatannya RM4,000 sebulan dan layak menerima RM500 setahun. Namun, 5 orang sekeluarga dengan pendapatan RM4,001 sebulan tidak layak menerimanya.

"Kita mengambil pendekatan, pendapatan perkapita isi rumah yang menunjukkan peningkatan signifikan dengan mengecilkan penerima berkecuali dan tidak berkecuali dalam program itu. lni apa yang diperlukan untuk menjayakan program ini," kata beliau.

Pembayaran BSH 2019 dibuat sebanyak tiga fasa melibatkan jumlah RM1,000 bagi pendapatan bawah RM2,000, RM750 bagi pendapatan RM2,001 hingga RM3,000 dan RM500 bagi pendapatan RM3,001 hingga RM4,000.

Pembayaran BSH 2019 dibuat melalui tiga fasa.