Bursa Malaysia dibuka rendah berikutan prestasi semalaman negatif dalam pasaran global utama, dan dengan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara hingga akhir Mac 2020, terus memberi tekanan kepada sentimen pasaran.

Pada 9.05 pagi hari ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 67.39 mata kepada 1,213.24 daripada 1,280.63 semasa ditutup pada Isnin, selepas dibuka rendah 63.35 mata kepada 1,217.28 pagi ini.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 600 berbanding 27, dengan 78 kaunter tidak berubah, 1,311 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 291.03 juta saham bernilai RM140.30 juta.

Dalam nota, Malacca Securities Sdn Bhd berkata aktiviti jualan berterusan dan Bursa Malaysia merosot sejajar dengan penurunan dalam ekuiti global, walaupun langkah rangsangan yang lebih kukuh diumumkan oleh Rizab Persekutuan AS.

"Indeks utama telah melepasi paras sokongan berturut-turut, terkini paras 1,300 dan ini akan menyebabkan pasaran terus suram dengan sokongan psikologi pada 1,200 mata.

"Kami berpendapat prestasi semalaman negatif di pasaran global utama, dengan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara hingga akhir Mac 2020 akan terus memberi tekanan kepada penurunan pada masa akan datang," katanya.

Di Wall Street, Dow Jones Industrial Average jatuh 2,997.10 mata, atau 12.9 peratus, untuk ditutup pada 20,188.52, yang menyaksikan sistem amaran awal menghentikan sementara dagangan selama 15 minit, dalam keadaan kebimbangan yang meningkat bahawa rangsangan Rizab Persekutuan yang baharu tidak akan mencukupi untuk menangani ancaman kehilangan pekerjaan dan gaji berikutan COVID-19.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank merosot 19 sen kepada RM7.10, Tenaga susut 42 sen kepada RM10.88, Public Bank turun 42 sen kepada RM14.08 dan IHH berkurangan 39 sen kepada RM4.61.

Daripada saham aktif, PriceWorth International dan Trive Property, masing-masing tidak berubah pada satu sen dan setengah sen, manakala Sapura Energy susut satu sen kepada 8.5 sen.

Indeks FBM Emas susut 525.09 mata kepada 8,264.27, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 568.18 mata kepada 8,942.15 dan FBM 70 merosot 875.76 mata kepada 9,227.96.

Indeks FBMT 100 susut 522.19 mata kepada 8,186.32 dan FBM Ace turun 343.75 mata kepada 3,438.02.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 7.55 mata kepada 96.13, Indeks Perladangan jatuh 249.81 mata kepada 5,586.56 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 646.97 mata kepada 11,248.32.

-- BERNAMA