Bursa Malaysia dibuka rendah selari ekuiti lain akibat ketidaktentuan di Timur Tengah ekoran ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran yang semakin meningkat.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam notanya hari ini berkata kedudukan ini akan menyebabkan penurunan selepas mencatat dua hari dagangan yang kukuh tahun ini.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 7.17 mata kepada 1,604.21 berbanding 1,611.38 pada penutupan Jumaat.

Di papan skor, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 200 berbanding 125, manakala 234 kaunter tidak berubah, 1,387 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 187.94 juta saham bernilai RM80.59 juta.

Malacca Securities juga berkata berdasarkan ketegangan yang semakin meningkat antara kedua-dua kuasa tentera itu, kecenderungan untuk indeks tempatan meningkat menjadi semakin sukar.

"Tahap sokongan masih ditambat pada 1,590, namun tahap rintangan kini antara 1,618 -1,623," katanya.

Ketika berita ini ditulis, indeks Singapore Straits Times turun 0.41 peratus lebih rendah kepada 3,238.82, Dow Jones Industrial Average merosot 0.71 peratus lkepada 3,234.85, Hang Seng Hong Kong turun 0.32 peratus kepada 28,451.41 manakala Nikkei Jepun merosot 1.76 peratus kepada 23,240.41 .

Antara 30 syarikat utama di bursa tempatan, Top Glove turun dua sen kepada RM4.65, Tenaga Nasional susut 10 sen kepada RM13.16, Sime Darby Plantation dan Petronas Chemicals masing-masing merosot satu sen kepada RM5.49 dan RM7.45 manakala Maybank turun lima sen kepada RM8.70.

Bagi saham aktif, kaunter minyak dan gas Hibiscus Petroleum dan warannya masing-masing menambah 3.5 sen kepada RM1.03 dan 29 sen, waran Sapura Energy meningkat setengah sen kepada 13 sen manakala Alam Maritim menokok setengah sen kepada 15 sen .

Bagi saham rugi, IHH turun 11 sen kepada RM5.51, Digi dan Public Bank masing-masing merosot lapan sen kepada RM4.52 dan RM19.88, manakala Maxis dan IJM masing-masing susut enam sen kepada RM5.46 dan RM2.26.

Indeks FBM Emas turun 41.28 mata kepada 11,434.22 manakala Indeks FBM Emas Shariah susut 32.63 mata kepada 12,071.67.

Indeks FBMT 100 merosot 44.11 mata kepada 11,222.81, FBM 70 turun 31.55 mata kepada 14,345.94 manakala FBM Ace menambah 7.52 mata kepada 5,433.59.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.32 mata kepada 155.64, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 66.24 mata kepada 15,619.5016 manakala Indeks Perladangan menambah 10.67 mata kepada 7,820.87.

-- BERNAMA