Bursa Malaysia ditutup 1.07 peratus lebih tinggi hari ini berikutan belian saham kewangan yang berterusan telah menyokong indeks barometer.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 16.78 mata untuk ditutup kepada 1,583.50 daripada 1,566.72 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks dibuka rendah 4.64 mata kepada 1,562.08 -- paras terendah hari ini -- dan meningkat kepada 1,584.67 sepanjang hari.

Keseluruhan suasana pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 687 kepada 369, manakala 398 kaunter tidak berubah, 482 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 11.81 bilion saham bernilai RM4.36 bilion daripada 7.78 bilion saham bernilai RM4.93 bilion pada Selasa.

Di peringkat serantau, Bursa Saham Shanghai China menokok 1.74 peratus kepada 3,403.44, Indeks Nikkei Jepun turun 0.78 peratus kepada 22,438.65, Indeks Hang Seng Hong Kong menokok 0.59 peratus kepada 26,129.18, KOSPI Korea Selatan turun 0.24 peratus kepada 2,158.88 dan Indeks Straits Times Singapura naik 0.19 peratus kepada 2,666.42.

Peniaga berkata prestasi ekuiti Asia bercampur-campur hari ini mengambil petunjuk daripada penyusutan mendadak Wall Street berikutan peningkatan kes baharu COVID-19 di beberapa negara di dunia selain berlakunya lambakan bekalan minyak berikutan kebimbangan membabitkan pemulihan ekonomi.

Di peringkat tempatan, beliau berkata Bursa Malaysia dibuka rendah namun meningkat semula selepas itu dan kekal di segmen positif untuk tempoh berbaki sesi dagangan itu.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim memberitahu Bernama prestasi FBM KLCI yang lebih baik hari ini sebahagiannya disumbangkan oleh peningkatan saham perbankan manakala kebimbangan mengenai gelombang kedua COVID-19 membantu kaunter sarung tangan seperti Top Glove kekal positif hari ini.

Beliau berkata saham kewangan terus menokok di sebalik pengumuman Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 1.75 peratus, paras terendah sejak 2004.

Mengulas selanjutnya, Adam berkata impak penurunan kadar faedah itu telah dijangkakan para pelabur dan kesannya yang tidak ketara dan pihak bank akan menyelaraskan harga dan strategi mereka dengan sewajarnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah sembilan sen kepada RM7.91, Public Bank meningkat 60 sen kepada RM18.0 dan Top Glove naik lapan sen kepada RM20.54.

Tenaga turun empat sen kepada RM11.56 dan Hartalega jatuh 28 sen kepada RM16.42.

Daripada saham paling aktif, PDZ Holdings meningkat 11.5 sen kepada 20.5 sen, waran PDZ naik 2.5 sen kepada 5.5 sen, Iris menokok tiga sen kepada 29 sen, MQ Technology menokok 2.5 sen kepada sembilan sen dan Eduspec tidak berubah pada dua sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 104.12 mata kepada 11,126.57, Indeks FBMT 100 meningkat 102.03 mata kepada 10,975.45 dan FBM 70 menokok 69.35 mata kepada 13,598.19.

Indeks FBM Emas Shariah naik 68.79 mata kepada 12,702.87 namun FBM ACE turun 118.26 mata kepada 7,128.64.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 1.26 mata kepada 140.93, Indeks Perladangan meningkat 63.46 mata kepada 6,887.19 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 229.42 mata kepada 13,455.01.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 6.67 bilion saham bernilai RM3.63 bilion daripada 4.15 bilion saham bernilai RM4.08 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran turun kepada 457.55 juta unit bernilai RM144.26 juta berbanding 700.67 juta unit bernilai RM235.69 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE naik kepada 4.68 bilion saham bernilai RM577.60 juta daripada 2.93 bilion saham bernilai RM617.06 juta pada Selasa.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 1.01 bilion saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (1.41 bilion), pembinaan (217.57 juta), teknologi (349.96 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (78.03 juta), hartanah (373.75 juta), perladangan (56.91 juta), REIT (8.05 juta), dana tertutup (53,200), tenaga (718.16 juta), penjagaan kesihatan (75.16 juta), telekomunikasi dan media (356.20 juta), pengangkutan dan logistik (1.97 bilion) dan utiliti (51.16 juta).

-- BERNAMA