Tutup

Berita  | Bisnes

Bursa Malaysia melantun semula untuk dibuka tinggi

Bursa Malaysia melantun semula untuk dibuka tinggi
Buat masa ini, harga minyak telah susut dan indeks global dijangka kembali berada di momentum meningkat yang juga akan memberi faktor positif kepada indeks tempatan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia melantun semula daripada penurunan mendadaknya semalam susulan meredanya ketegangan geopolitik antara Washington dan Tehran.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 8.11 mata untuk dibuka kepada 1,597.21 berbanding paras penutup 1,589.10 semalam.

Di papan skor, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 278 berbanding 68, manakala 153 kaunter tidak berubah, 1,349 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 194.15 juta saham bernilai RM82.73 juta.
Seorang penganalisis berkata memandangkan ketegangan yang mereda antara kedua-dua pihak, dan Amerika Syarikat (AS) tidak membalas serangan terhadap pengkalan tenteranya di Iraq semalam, kebimbangan global terhadap ketidakpastian ekonomi di rantau kaya dengan minyak itu telah berkurangan.

"Buat masa ini, harga minyak telah susut dan indeks global dijangka kembali berada di momentum meningkat yang juga akan memberi faktor positif kepada indeks tempatan kita," katanya.
Presiden AS Donald Trump dalam ucapannya pada awal hari ini berkata Iran nampaknya telah memberhentikan serangannya dan tidak ada tentera AS yang terkorban dalam serangan peluru berpandu semalam.

"Iran nampaknya telah menghentikan serangannya," katanya, di samping mengumumkan AS akan terus mengenakan sekatan ekonomi lebih ketat ke atas negara itu.

Dalam kalangan 30 kaunter utama, saham kewangan menerajui peningkatan dengan Maybank meningkat tujuh sen kepada RM8.61, Public Bank naik 22 sen kepada RM19.82, CIMB menokok lima sen kepada RM5.22, Tenaga Nasional menambah 10 sen kepada RM13.08 dan Axiata meningkat tiga sen kepada RM4.24.

Dalam kalangan kaunter untung utama, Malaysian Pacific meningkat 38 sen kepada RM12.00, Kuala Lumpur Kepong naik 36 sen kepada RM24.86, manakala UMW menokok 21 sen kepada RM4.63.

Di Papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 50.85 mata kepada 11,328.98 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 39.30 mata kepada 11,989.56.

Indeks FBMT 100 turun 52.86 mata kepada 11,160.66, FBM 70 naik 51.72 mata kepada 14,212.52 manakala FBM Ace meningkat 34.19 mata kepada 5,414.84.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat sedikit sebanyak 0.20 mata kepada 154.77, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 126.02 mata kepada 15,345.28 dan Indeks Perladangan menambah 50.57 mata kepada 7,691.23.

-- BERNAMA