Golongan muda yang menyumbang kepada ekonomi dan tenaga kerja dunia berdepan pelbagai cabaran dalam era digital.

Antaranya, akses kepada maklumat, kemudahan kewangan serta akses kepada teknologi.

Naib Pengerusi Majlis Usahawan Muda ASEAN (AYEC), Syed Nabil Aljeffri berkata golongan usahawan muda di Malaysia tidak mendapat akses sepatutnya dalam bidang teknologi.

Ia mengehadkan kemampuan mereka untuk meneroka pasaran ASEAN.

"Akses kepada teknologi dalam perniagaan akan memudahkan akses ke pasaran. Ia juga akan meningkatkan taraf perniagaan anda secara berhemat," kata Syed Nabil.

Selain akses kepada teknologi, usahawan muda juga berdepan kekangan maklumat dan tidak mampu mengenal pasti peluang dalam pasaran.

Beliau juga berharap institusi kewangan boleh memainkan peranan membuka akses kemudahan kewangan sewajarnya kepada golongan itu.

"Kami berharap supaya institusi pembiayaan mikro yang kukuh di negara-negara CLMV dan juga institusi pembiayaan pembangunan menyediakan akses kepada kemudahan kewangan yang lebih baik terutamanya bagi perniagaan yang ingin menceburi pasaran ASEAN," kata Syed Nabil.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama kerajaan dan sektor swasta dalam membantu usahawan muda menceburi pasaran ASEAN serta global.

Jelas beliau antara usaha yang bakal dilaksanakan AYEC ialah karnival usahawan muda ASEAN yang akan memberi fokus kepada pembangunan usahawan muda.

"Ini selaras dengan aspirasi ASEAN untuk merapatkan lagi usahawan muda di ASEAN.

"50 peratus daripada warga ASEAN di bawah usia 30 tahun ,dan penanda aras bagi usahawan muda adalah di bawah 45 tahun. Ini bermaksud 65 peratus daripada warga ASEAN dikenal pasti sebagai golongan muda.

"Ini merupakan demografik yang bernilai daripada 620 juta warga ASEAN," kata Nabil.

Karnival ini akan berlangsung pada 29 hingga 30 Julai di Pusat Pameran Eksport Malaysia dan dijangka menerima 5,000 penyertaan.