Penyertaan Malaysia dalam pameran perdagangan China ASEAN (CAEXPO) ke-13, yang memasuki edisi ketiga tahun ini, merupakan antara strategi Malaysia bagi mengukuhkan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Wan Latiff Wan Musa berkata CAEXPO merupakan antara acara terbesar di negara yang mempunyai pasaran 1.3 bilion penduduk itu.

"Nanning yang terletak di bahagian barat China, merupakan bandar tahapketiga di China.

"Kita melihat bahawa terdapat potensi perdagangan yang luas dengan bandar ini, di samping kerjasama perdagangan dengan bandar tahap pertama seperti Shanghai, Beijing, Guangzhou dan Shenzhen dan bandar tahap kedua seperti Xiamen, Chong Qing dan Nanjing," katanya kepada media pada hari kedua CAEXPO.

Menurut Wan Latiff, sambutan yang diperoleh daripada pengunjung ekspo tersebut juga semakin besar, dan oleh itu Malaysia tidak boleh terlepas daripada menyertainya.

Beliau juga berkata penyertaan syarikat Malaysia juga turut bertambah, sekali gus membuktikan permintaan barangan dan perkhidmatan yang lebih besar di negara ini.

Selain CAEXPO, strategi lain Malaysia untuk memasuki pasaran China ialah menerusi inisiatif 'satu jalur satu laluan', yang diperkenalkan kerajaan China, bagi meningkatkan perdagangan antara China dan negara di sepanjang laluan sutera, dari China ke Asia Tengah dan berakhir di Eropah.

"Kita juga mempunyai kerjasama dalam Laluan Sutera Maritim ke-21 yang mempromosikan perdagangan di sepanjang laluan laut dari China sehingga ke Afrika dan Eropah.

"Kita turut menggalakkan syarikat untuk mengaplikasikan platform dalam talian bagi memperluaskan perniagaan mereka di pasaran antarabangsa," katanya dan menambah bahawa Matrade telah menyediakan platform e-dagang bagi membimbing peniaga tempatan menerusi menggunakan platform terbabit.

e-Dagang ialah program yang dilaksanakan oleh Matrade bagi menggalakkan penggunaan e-dagang dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana tempatan untuk menembusi pasaran eksport dalam pasaran utama antarabangsa.

Jumlah dagangan antara Malaysia dan China bernilai RM230 bilion pada tahun lepas, iaitu kira-kira 15 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia.