Mulai 1 Julai ini, kerajaan negeri Kedah akan mengenakan caj ke atas pelancong ke Langkawi bagi penginapan mereka selama berada di pulau peranginan ini.

Exco Pelancongan Kedah Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata caj yang dikenali Bayaran Penggalakan Pelancongan Langkawi ini akan dikutip oleh Majlis Perbandaran Langkawi Bandar Raya Pelancongan (MPLBP).

Bercakap kepada Bernama di sini, beliau berkata bayaran seperti ini bukanlah suatu bentuk kutipan baharu ke atas pelancong di negara ini dan ia dijangka dapat memantapkan lagi pendapatan kerajaan negeri untuk memajukan industri itu.

"Ia sudahpun dilaksanakan di Melaka dan Pulau Pinang sejak lebih dua tahun lepas. Ia juga telah dilaksanakan di Kuala Lumpur," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan Hari Raya kepada kira-kira 600 golongan kurang berkemampuan di Ayer Hangat di sini semalam.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat berkata kadar bayaran yang dikenakan di bawah sistem kutipan ini juga amatlah rendah kalau dibandingkan dengan kemampuan pelancong yang berkunjung ke Langkawi.

Mohd Rawi berkata di bawah Bayaran Penggalakan Pelancongan Langkawi itu, caj RM1 dikenakan ke atas setiap satu malam bagi setiap bilik untuk kemudahan penginapan bertaraf satu hingga dua bintang.

Caj RM3 dikenakan ke atas setiap malam bagi setiap bilik untuk penginapan bertaraf tiga dan empat bintang, RM5 untuk penginapan lima bintang, RM7 untuk yang bertaraf enam bintang dan RM9 untuk tujuh bintang.

Menurutnya Kedah sehingga kini masih banyak bergantung kepada peruntukan kerajaan pusat untuk memajukan sektor pelancongannya dan langkah mengenakan caj ini dapat mengurangkan kebergantungan tersebut.

"Kalau kami dapat jumlah kutipan yang memuaskan (melalui pelaksanaan bayaran penggalakan pelancongan ini), kami boleh laksanakan lebih banyak lagi program yang ada kaitan dengan pembangunan pelancongan," katanya.

Beliau berkata pelaksanaan caj bayaran ini di Langkawi Julai ini akan menjadi titik permulaan sebelum diperluaskan lagi secara berperingkat ke tempat-tempat lain di Kedah.

"Jumlah (kadar bayaran) yang dikenakan ini bukanlah satu jumlah yang besar. Kalau kami tak (mengenakan) caj (pelancongan ini), saya rasa kami tak menuju ke arah yang ke hadapan (untuk memajukan sektor pelancongan Kedah)," katanya.