China akan terus mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara yang menjalinkan hubungan perdagangan terbaik serta situasi menang-menang antara kedua-duanya.

Naib Presiden Pusat Penyelidikan Pembangunan (DRC) China, Dr Ma Jiantang berkata, taklimat kepada Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang berlangsung hari ini lebih berkisar kepada isu masa depan perkembangan ekonomi dua hala dan tidak tertakluk kepada apa-apa projek tertentu.

"Perjumpaan adalah untuk terus mempromosikan Malaysia dan memenangi hubungan perdagangan dua hala. Kami tidak bercakap mengenai projek tertentu, ia hanya mesyuarat untuk mempromosikan perdagangan China-Malaysia.

"Saya juga tidak mahu mendedahkan butiran lebih lanjut," katanya kepada media selepas sesi taklimat kepada Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) di Menara Ilham di sini, hari ini.

Difahamkan perjumpaan delegasi China bersama CEP berkisar mengenai One Belt One Road (OBOR) yang merupakan ilham pemimpin utama China, Presiden Xi Jinping sewaktu berucap di Universiti Nazarbayev di Kazakhstan pada September 2013.

OBOR merupakan impian besar Jinping yang terdiri dari dua komponen - iaitu satu laluan darat dipanggil Silk Road Economic Belt (One Belt) dan laluan laut dipanggil 21st Century Maritime Silk Road.

Laluan darat dan laut ini akan mendatangkan manfaat kepada 65 negara dan memberi impak kepada 4.4 bilion orang serta 40 peratus ekonomi global.

Malaysia merupakan salah satu perhentian cadangan dalam laluan laut ini.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Eksekutif Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa Malaysia (ISIS) Datuk Steven Wong memberitahu, perbincangan berkisar situasi semasa dan perkembangan serantau.

Selain itu, turut memberi taklimat adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Institut Pengajian China, Universiti Malaya, Dr. Ngeow Chow Bing dan Pengarah Hubungan Ekonomi dan Perdagangan Bilateral Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Unny Sankar Ravi Sankar.