Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Bisnes

CIMB Bank, CIMB Islamic kecualikan yuran untuk urus niaga Tabung Haji

CIMB Bank, CIMB Islamic kecualikan yuran untuk urus niaga Tabung Haji
CIMB menggesa pelanggan untuk memautkan akaun TH mereka kepada kad ATM yang boleh dilakukan dengan mudah melalui terminal layan diri. - Astro AWANI/ Shahir Omar
KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd buat sementara waktu mengecualikan yuran RM1 untuk urus niaga yang dibuat untuk akaun Lembaga Tabung Haji (TH) melalui mesin juruwang automatik (ATM) atau mesin deposit tunai (CDM).

Pengecualian ini adalah selaras dengan arahan dari TH dan konsisten dengan inisiatif industri dan kerajaan yang lebih luas untuk kemudahan orang ramai semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Yuran urus niaga sebelum ini dikenakan kepada aktiviti yang melibatkan pindahan yang dibuat daripada akaun CIMB kepada akaun TH, dan sebaliknya, serta pengeluaran wang tunai daripada akaun TH yang dilakukan di terminal layan diri, kata bank itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

"Pengecualian itu terpakai kepada semua urus niaga TH yang dilakukan mulai Isnin, 6 April dengan semua bayaran yang akan dikembalikan kepada pelanggan selepas tempoh PKP," kata kumpulan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata langkah itu diharapkan dapat mengurangkan beban kewangan para pelanggan dalam waktu yang mencabar ini.

"Kami akan memastikan semua pelanggan dikembalikan yuran RM1 itu selepas PKP, selaras dengan pengecualian keseluruhan CIMB untuk pengeluaran tunai di ATM semasa PKP dan inisiatif keseluruhan oleh kerajaan," katanya.

CIMB, pada September 2018, melancarkan perkongsian strategik dengan TH untuk menyediakan pelanggan akses kepada akaun TH mereka menerusi terminal layan diri CIMB di seluruh negara.

Dengan akses tersebut, pelanggan CIMB kini dapat melakukan urus niaga seperti mengeluarkan dan mendepositkan tunai dari akaun TH mereka serta menyemak baki akaun TH mereka, menggunakan kad debit CIMB mereka.

"Kami berharap dengan pengecualian yuran itu, kami dapat menyokong TH dalam matlamat mereka untuk memberi kemudahan kepada sembilan juta pendeposit, yang kebanyakannya tidak menghubungkan akaun TH mereka kepada kad debit CIMB mereka," kata Ahmad Shahriman.

Justeru, CIMB menggesa pelanggan untuk memautkan akaun TH mereka kepada kad ATM yang boleh dilakukan dengan mudah melalui terminal layan diri.

-- BERNAMA


Tag: CIMB, Tabung Haji, bank, CIMB Bank Bhd, CIMB Islamic Bank Bhd, Perintah Kawalan Pergerakan PKP



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.